Yang ‘Sepatutnya’ dan Yang ‘Hakikinya’: Mencerahi Diskusi Politik (II)

-

Suatu perkara tidak semestinya berlaku hanya kerana ia sepatutnya berlaku.

Kerap saya perhatikan bahawa orang Malaysia menyebut sesuatu perkara sepatutnya berlaku dalam corak tertentu (mengikut adab atau prinsip moral, misalnya), tetapi pada masa sama mereka tidak mengiktiraf hakikat keadaan itu yang merumitkan atau menghalang perkara tersebut daripada berlaku. Hakikat yang membawa sekatan itu mungkin kekusutan yang berlaku di belakang tabir, kekangan tersembunyi yang menghalang penyelesaian yang nampaknya macam sesuatu yang mudah, atau kelebihan asimetri mereka yang jahat ada pada mereka yang baik.

Oleh sebab itu, saya kurang gemar dengan ungkapan seperti:

“Syed Saddiq sepatutnya mempertahankan pegawai khasnya yang didedahkan sebagai gay, dan tidak benarkan dia letak jawatan.”

“Mujahid Yusof Rawa seharusnya menyatakan sokongan sepenuhnya kepada hak golongan transgender, dan bukannya membuat kenyataan bahawa perjumpaannya dengan Nisha Ayub tidak bermaksud dia bersetuju dengan puak LGBT.”

“Kerajaan Pakatan Harapan sepatutnya tidak berganjak dan bertegas untuk meneruskan ratifikasi ICERD dan Rome Statute, dan bukannya tunduk terhadap tunjuk perasaan yang didalangi UMNO-PAS.”

“PH seharusnya segera memenuhi semua tuntutan manifesto seperti yang mereka telah menjanjikan semasa PRU14.”

Kenyataan-kenyataan seperti ini, dan banyak lagi perang budaya atau culture wars yang sering diungkit oleh golongan liberal progresif merupakan pendirian yang kurang bijaksana. Ini kerana konsep modal politik (political capital). Kita perlu pinjamkan pemikiran ekonomi untuk memahami konsep ini: setiap kerajaan atau ahli politik mempunyai modal politik yang terhad, dan sumber yang terhad memaksa kita mempertimbangkan kos peluang (opportunity cost) dalam apa-apa pilihan yang kita perlu lakukan. Kalau kita pilih tindakan ini, adakah ia mengelakkan kita daripada memilih tindakan yang lain; dan apakah kesan jangka panjang yang mungkin menghadkan tindakan yang dapat kita ambil kelak.

Dengan kata lain, setiap tindakan yang diambil oleh kerajaan atau ahli politik biasanya akan melibatkan kompromi atau trade-off. Jadi, apa yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan atau ahli politik atas prinsip moral mungkin akan menyukarkan atau menyekatkan kebolehan kerajaan untuk berfungsi pada masa depan.

Sebagai kerajaan, PH tidak dapat mengabaikan pandangan golongan-golongan yang lebih konservatif daripada saya yang mungkin saya sangat tidak setuju. Kami merasakan pandangan mereka tidak betul, mereka juga rasa pandangan kami tidak betul. Kalau anda bukan kerajaan, kamu boleh mengadu dan membantah, tetapi ini tidak membawa kesan yang besar kepada kami sendiri. Kerajaan pula tiada kebebasan ini.

Bagi PH, mereka pada masa itu perlu mengutamakan masalah yang lebih mendesak, misalnya kerajaan perlu membaiki institusi pentadbiran dan memulihkan fungsi ekonomi yang telah dirosakkan pentadbiran BN di bawah Najib Razak. Perbendaharaan negara dilemahkan oleh skandal 1MDB, dan juga isu PTPTN yang kekurangan dana akibat banyak peminjam tidak membayar balik, sehingga hutang PTPTN hampir seteruk hutang 1MDB itu. Sistem pendidikan perlu diperbaiki, dan segala usul yang diputuskan akan mengambil bertahun-tahun untuk dilaksanakan. Di kalangan petugas perkhidmatan awam, ada yang terasa dengan perubahan kerajaan yang tidak pernah berlaku di negara kita, dan ada yang menentang perubahan pentadbiran yang ingin dilaksanakan kerajaan baru.

Dalam keadaan sebegini, jika kerajaan PH aktif masuk campur dalam perang budaya antara golongan liberal progresif dan golongan konservatif, ia akan menimbulkan perasaan tidak puas hati dan sengit golongan konservatif terhadap kerajaan baru, dan perasaan ini yang pembangkang daripada BN dan PAS akan tunggang untuk serang PH.

Kita boleh rujuk satu contoh. Kalau anda ialah Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, dan anda perlu berdepan dengan isu khat (sama ada ia patut diwajibkan dalam sukatan pendidkan seni) yang dibangkit dan diapi-apikan oleh pelbagai pihak sehingga timbul kemarahan di seluruh negara, apakah tindakan yang anda harus ambil?

Isu tentang Syed Saddiq dengan pegawai khasnya: kita memang tidak tahu pendirian peribadinya terhadap hak golongan LGBT; yang kita tahu, golongan konservatif Melayu membantah isu ini. Peristiwa ini berlaku beberapa hari selepas perlantikannya sebagai Menteri, dan pada masa itu dia merupakan anggota PPBM, yang merupakan parti yang bersifat nasionalis Melayu. Jika Syed Saddiq mempertahankan pegawai khasnya pada masa yang begitu awal tempohnya sebagai Menteri, sentimen bahawa dia penyokong anti-Islam (kerana menyokong LGBT; ingat, kita memang tidak tahu pendiriannya tentang perkara ini) akan diungkit untuk bertahun-tahun. Selepas ini, apa sahaja dia buat, dia akan dimaki. Bayangkan dia menyumbang komputer riba kepada pelajar Muar, timbul: “Syed Saddiq anti-Islam”. Menuntut #Undi18: “Syed Saddiq anti-Islam”.

Tidak percaya? Tanya Dr Maszlee dan pengalaman dia dengan istilah ‘kasut hitam’.

Oleh sebab ini, saya merasakan bahawa orang Malaysia adakalanya bersikap tidak adil terhadap para Menteri Pakatan Harapan. Pandangan ini tidak bermaksud kesilapan yang dibuat oleh PH dalam 22 bulan pentadbiran mereka tidak boleh dikritik, ini sama sekali bukan maksud saya. Kelemahan patut ditegur, dan kita semua ada hak untuk persoalkan pentadbiran dan keputusan kerajaan, dan memang kerajaan PH tidak pernah menafikan hak rakyat itu. Tetapi, komen-komen yang disebut tadi itu agak berlebihan sehingga menimbulkan rasa kemarahan yang tidak terhenti-henti terhadap PH, dan komen-komen itu tidak mengakui bahawa sekurang-kurangnya PH memang ikhlas mencuba berkhidmat untuk rakyat, dan sebaliknya BN dan PN sebagai kerajaan lalai terhadap keperluan rakyat. Adalah tidak adil untuk mengatakan bahawa “Pakatan dan BN sama je”.

Dan ini sikap yang agak buruk. Kalau begitu, mustahil orang Malaysia akan berasa puas hati, kalau kerajaan yang terbaik sekali pun orang Malaysia akan tolak. Hakikatnya, tiada satupun kerajaan yang boleh kebalkan diri daripada kekangan sukar dan kerumitan di belakang tabir yang tidak dapat dielakkan, dan akan membantut usaha kerajaan untuk melaksanakan dasar yang baik dalam masa yang singkat. Ketidakpuasan yang berkekalan ini pula menyebabkan kita putus asa dengan senang, dan ini yang menimbulkan sentimen “ahli politik semua sama teruk” (sesuatu yang sama sekali tidak benar di Malaysia). Lebih malang lagi, mungkin ada yang akan kata, “apa gunanya kita buang undi jika akibatnya sama juga”?

Kekecewaan di kalangan orang Malaysia ini umpama budak kecil yang marah dengan alat mainannya kerana ia tidak melakukan apa yang dia hendak, jadi dia sewanangnya membuang mainan itu. Budak kecil itu tentu akan menjadi lebih matang, dan pada masa itu dia akan faham bahawa dia kena memahami cara fungsi mainan itu supaya ia akan buat apa yang dia mahukan.

Tetapi, kalau kita tidak menjadi lebih matang, dan terus mengisytiharkan bahawa politik itu semestinya jijik dan kotor (macam budak kecil buang alat mainan), akibatnya adalah ahli politik yang jahat (yang hanya mementingkan kuasa dan wang) akan menang. Ahli politik jahat akan dapat bermaharajalela. Yang derita, rakyat juga.

Lihat tidak, penderitaan kita di bawah kerajaan yang jahat adalah juga disebabkan kita sendiri?

** Artikel ini adalah bahagian kedua daripada artikel tiga siri bertajuk “Yang ‘Sepatutnya’ dan Yang ‘Hakikinya’: Mencerahi Diskusi Politik”

Foto: Florence

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

LANGGANI BULETIN KAMI

IKUTI KAMI

Berita Terkini

Melaka elections – a repetition of the Sabah 2020 elections?

The Melaka State Assembly was dissolved on October 4th,...

Bring Back The “Human” In All Of Us

WE live life doing repetitive tasks, habitual actions and...

Suatu erti merdeka

“Merdeka! Merdeka! Merdeka!” Menyahut seruan merdeka kali ini terasa amat...

Pakatan Harapan Harus Mulakan Rundingan Kerusi Untuk PRU15

Beberapa bulan sebelum PRU14, keempat-empat parti dalam gabungan Pakatan...

berita berkaitanuntuk anda
di bawah