Tumbangnya Pemerintah Zalim Di Tangan Rakyat: I. Nicolae Ceausescu Diktator Romania

-

Nicolae Ceaușescu bersama dengan isterinya Elena memerintah Romania sepanjang suku abad. Dalam tempoh itu, kuasa mereka sehingga mampu arahkan kehidupan rakyat Romania sesuka hati, tanpa sebarang akibat buruk pada diri mereka.

Memang tidak diduga mereka bahawa kuasanya akan jatuh dalam tempoh masa 5 hari sahaja.

Pada Hari Krismas 1989, Ceaușescu tidak berupaya buat apa-apa apabila tangan dia dan isterinya diikat di belakang mereka. Mereka dibawa keluar dari bilik mahkamah sementara oleh askar tentera. Salah satu askar mencemuh Elena; dia menjerit balik: “Go fuck your mother!”

Belum sampai ke otak pasangan tua yang angkuh bahawa mereka akan dibunuh dalam beberapa ketika lagi, sehinggalah mereka nampak sebaris skuad penembak yang memegang senjata automatik AK-47 di depan dinding bangunan …

* * *

Pada mula pemerintahannya, Ceaușescu agak popular. Dia kelihatan seperti seorang yang liberal, kerana tindakannya melonggarkan sekatan terhadap pemberita, dan menggalakkan perusahaan swasta.

Yang paling menarik perhatian kuasa Barat ialah azamnya untuk memerdekakan Romania daripada naungan Soviet Union, yang pada masa itu mengawal hampir semua kerajaan negara-negara Eropah Timur. Dalam suasana sengketa yang wujud di antara pihak Komunis dan pihak kapitalis Barat pada zaman Perang Dingin ini, Ceaușescu kelihatan seperti seorang ‘Komunis anti-Rusia’. Itu sebabnya dia disambut baik oleh pemimpin-pemimpin Barat. Presiden A.S. seperti Nixon dan Carter menjemput Ceaușescu membuat lawatan rasmi ke Washington D.C.

George HW Bush pernah panggil dia seorang ‘Komunis yang baik’.

Namun, perilaku Ceaușescu berubah selepas 1971. Ini disebabkan lawatan Ceaușescu ke Korea Utara dan China pada tahun itu, di mana dia dapat melihat kult personaliti yang dinikmati Mao Zedong dan Kim Il-sung.

Sanjungan rakyat yang melampau terhadap Mao dan Kim itu menyentuh hati Ceaușescu. Di Pyongyang, dia terharu melihat beribu-ribu penduduk bandar itu bersorak-sorai di tepi jalan untuk menyambut kedatangannya. Ceaușescu fikir, rakyat Romania sayang dia juga, mereka patut menunjukkan rasa sayang mereka kepada pemimpin mereka dengan keghairahan yang setara!

Tidak lama selepas itu, perarakan gergasi seperti yang terdapat di Korea Utara dan China mula diadakan di Bucharest, ibu kota Romania. Ceaușescu digelar sebagai pemimpin yang mulia dan berwibawa — alangkah bersyukurnya rakyat Romania mendapat pemimpin seperti Ceaușescu!

Kisah yang mengharukan tentang Ceaușescu yang berasal daripada kelas petani dituliskan (atau boleh kata direkakan) untuk memupuk rasa sanjung rakyat. Lukisan dinding yang menyanjung Ceaușescu mula muncul, dan walaupun usia Ceaușescu makin tua sehingga 70 lebih tahun, lukisan tetap akan menggambarkannya sebagai seorang lelaki 40 tahun yang segak.

Ceaușescu suka berucap. Namun, dia bukanlah penceramah yang baik, ada masa dia tergagap. Kerana itu, sebelum ceramahnya disiarkan kepada awam, penyunting di stesen TV terpaksa menghabiskan berjam-jam untuk mengemaskan ucapannya dengan mengeluarkan saat Ceaușescu tergagap, terhenti, atau bila muka dia berkerut.

 

Ceaușescu suka dijemput untuk berjumpa dengan pemimpin penting dari luar negara, tetapi kerana ketinggiannya yang setakat 1.68 m sahaja, dia mengarahkan supaya jurugambar hanya mengambil fotonya dari sudut yang menampakkan seperti ketinggiannya lebih kurang sama dengan pemimpin lain.

Isterinya Elena sama sepertinya, perangainya bongkak. Dia kurang berpendidikan, tetapi dia masih ingin mendapat sanjungan dan anugerah daripada komuniti saintis. Dia mencipta persona palsu untuk sendiri sebagai seorang saintis hebat supaya dia dapat mengumpulkan ijazah kehormat daripada universiti. (Namun, Oxford dan Cambridge menolak permintaannya untuk bagi ijazah kehormat.)

Nicolae juga melantik Elena sebagai ketua kepada pusat selidik kimia terunggul di Romania. Ciptaan sains, jurnal ilmiah dan syarahan persidangan wajib meletakkan namanya pada tempat pertama. Ini dilakukan walaupun Elena tidak mungkin faham kandungannya. Pernah seorang saintis mengadu: “Formula kimia untuk air pun dia tidak tahu.”

Kuasa semakin menumpu di tangan Elena. Selepas 1980, adalah difahamkan Elena yang memegang kuasa tertinggi setiap kali Nicolae buat lawatan ke negara lain. Bila Elena naik marah, Nicolae memang takut kepada dia. Nicolae pantang datang lewat untuk jumpa Elena, misalnya untuk makan bersama; kalau dia lewat dia akan mula berpeluh dan tergagap.

Tidak hairan, Nicolae dan Elena suka beli barangan mewah. Banyak kot bulu dan kasut yang Elena beli. Ada juga kereta mewah dan bot laju. Yang paling mahal ialah 40 buah villa mewah yang terletak di serata Romania. Antara villa-villa itu, ada yang didiami hanya satu kali sahaja setiap sepuluh tahun.

* * *

Pegangan kuasa yang kuat oleh pasangan Ceaușescu diiringi penindasan yang teruk terhadap rakyat Romania.

Penindasan yang paling terukir dalam jiwa rakyat Romania adalah transformasi Securitate, iaitu organisasi polis rahsia Romania, kepada organisasi yang sangat berkesan dengan cara ia menyekat dan menyeksa rakyat sehingga mereka akur sepenuhnya dengan segala aspek pemerintahan Ceaușescu. Ketakutan menjadi senjata pihak berkuasa. Cara yang digunakan termasuk penyebaran khabar angin, pengawasan, penahanan, dan penyeksaan, kadangkala sehingga mati.

Tindakan atau kata-kata seseorang yang sebenarnya remeh, tetapi boleh ditafsirkan sebagai bertentangan dengan Ceaușescu, akan mengakibatkan orang itu ditangkap oleh pegawai Securitate. Lebih ngeri, rakyat Romania percaya bahawa setiap satu daripada 4 orang di Romania telah digajikan oleh Securitate. (Sebenarnya ini khabar angin sahaja yang sengaja disebarkan oleh Securitate sendiri).

Kesannya, rakyat terpaksa sentiasa menjaga tindak tanduk dan pertuturan mereka. Kepercayaan di antara jiran, rakan, malah ahli keluarga juga menjadi cair. Mikrofon kecil dipasang di merata tempat. Perbualan telefon dirakam. Polis rahsia ditugaskan untuk mengikut dan memerhati tingkah laku orang biasa. Privasi peribadi tidak wujud lagi.

Kalau ditahan dan disyaki buat salah (atau kesalahan itu direka untuk menganiayai orang itu), orang itu akan diseksa. Satu cara seksaan yang agak kreatif ialah pendedahan X-ray kepada tubuh mangsa yang berpanjangan, supaya mangsa akan menghidap kanser. Dianggarkan beribu-ribu orang dibunuh oleh Securitate semasa pemerintahan Ceaușescu.

Dalam suasana zalim ini, tiada kumpulan pembangkang dapat ditubuhkan oleh rakyat.

Penindasan mengikut corak kehendak Ceaușescu, dan adakalanya agak pelik. Contohnya, Ceaușescu tidak suka yoga. Akibatnya, seorang pelajar perubatan yang mengamalkan yoga dibelasah oleh pegawai Securitate. Lepas itu, pelajar itu akur bahawa dia tidak akan mengamalkan yoga lagi, tetapi dia masih diikuti polis rahsia 24 jam sehari. Tidak hairanlah yoga hilang sama sekali dari Romania sehingga selepas zaman Ceaușescu berakhir.

Pengguguran diharamkan untuk wanita di bawah usia 40 tahun (lepas itu ditingkatkan ke 45 tahun ke bawah). Tujuannya adalah untuk menumbuhkan populasi dengan pesat. Apabila polisi ini tidak membawa penumbuhan populasi yang cukup memuaskan, Ceaușescu menetapkan pula bahawa setiap wanita yang subur kena menjalani pemeriksaan tubuh badan setiap 1-3 bulan. Pekerja wanita akan dibawa oleh polis bersenjata kepada klinik khusus untuk diperiksa dan disoal. Jika terdapat tanda keguguran dalam rahim wanita, pegawai akan mensyaki wanita itu dan menyoal siasat dengan menyeluruh.

Polisi pengharaman pengguguran memaksa wanita yang terdesak untuk mencari doktor pengguguran secara sulit. Kemahiran doktor ini biasanya tidak baik, dan malangnya setiap tahun seribu wanita akan mati kerana kesulitan yang terjadi akibat prosedur pengguguran yang silap. Satu lagi kesan buruk ialah peningkatan jumlah anak yatim yang mendadak sehingga beratus-ribu orang, kerana banyak wanita memang tidak mahu atau tidak mampu membesarkan anak.

Atas keinginan Ceaușescu untuk menjaga kemerdekaan Romania, dia memutuskan supaya Romania menjadi negara yang bebas daripada hutang, walaupun ini sebenarnya bercanggah dengan teori ekonomi. Salah satu kesan ialah 75% makanan yang dihasilkan dalam negara dieksport ke negara lain, walaupun ini bermaksud bekalan makanan terlalu kurang untuk rakyat sendiri. Pada tahun 1980-an, catuan makanan kerap berlaku dan rakyat terpaksa beratur berjam-jam untuk mendapat makanan.

Bidang tenaga juga sama: banyak tenaga elektrik yang dieksport ke luar negara. Untuk menjimat elektrik, sistem pemanasan dihadkan kepada dua jam sahaja. Orang Romania masa itu berjenaka: “Apakah yang lebih sejuk daripada air? Air panas.” Yang tidak melucukan ialah kematian yang berlaku kerana kesejukan, terutamanya di kalangan warga tua. Selain itu, lampu jalan tidak berfungsi pada waktu malam. Bucharest, yang sebelumnya digelar “Paris Eropah Timur”, kini kehilangan kemeriahan aktiviti malamnya; pawagam, bar dan kafe semua tutup selepas senja.

Satu lagi polisi aneh Ceaușescu ialah “systematisasi”, iaitu usaha untuk merobohkan dan membina semula kawasan pembangunan daripada jenis kampung sehingga bandar, supaya landskap Romania “lebih menampilkan ideologi sosialisme”. Banyak kampung yang dirobohkan supaya kaum petani dipindahkan kepada kawasan kota. Bucharest mengalami perubahan yang paling dramatik, di mana dalam 5 tahun sahaja, sebanyak satu perlima bangunannya dirobohkan supaya bangunan baru boleh dibangunkan di tapak itu.

Ramai penduduk dipaksa pindah, dan banyak gereja dan monumen bersejarah dirobohkan. Ceaușescu mengarahkan supaya bangunan Parliament terbesar di dunia dibina di tengah Bucharest. Sehingga hari ini, Palace of the Parliament (yang mengandungi 1400 bilik!) masih belum siap, dan beratus-ratus bilik langsung tidak pernah digunakan.

Seperti Korea Utara, Romania mengasingkan rakyatnya daripada pengetahuan tentang negara lain. Tetapi, pada tahun 1989, rakyat dapat juga khabar yang berlaku di sekitar Eropah Timur: beberapa negara telah menggulingkan kerajaan dan membebaskan diri daripada kawalan Soviet Union, dan Tembok Berlin telah pun runtuh.

Namun, Ceaușescu masih teruskan seolah-olah pegangan kuasanya masih utuh.

* * *

Kebangkitan rakyat bermula secara spontan di bandar Timișoara dalam keadaan yang sungguh tidak diduga.

Ia bermula dengan penganiayaan seorang paderi muda oleh pegawai Securitate. Mereka membelasah paderi itu di depan isteri dan anaknya dan melucut jawatannya. Ini menimbulkan kemarahan orang ramai. Berita ini disebarkan ke seluruh bandar, dan rakyat mula mengumpul di pusat bandar. Mereka menjerit, “Jatuhkan Ceaușescu, jatuhkan kezaliman!”

Ibu pejabat Parti Komunis diserbu. Pihak polis dan Securitate cuba mengawal situasi ini, tetapi jelas kemarahan rakyat sudah memuncak. Ceaușescu naik marah, dan mengarahkan supaya pihak berkuasa menembak orang yang buat rusuhan. Akibatnya, 60 orang mati di Timișoara.

Desas-desus yang tersebar ke tempat lain di Romania membesarkan angka itu sehingga ada orang yang kata 4,000 orang, malah 20,000 orang dibunuh oleh pihak berkuasa. Namun, berita rasmi langsung tidak melaporkan apa-apa tentang rusuhan yang berlaku di Timișoara. Oleh sebab itu, rakyat Romania mengambil angka kematian yang tidak masuk akal itu sebagai kebenaran.

Ceaușescu masih tidak menyedari kemarahan rakyat, dia masih ingat dia disayangi kebanyakan orang Romania. Ini adalah kerana dia hanya dikelilingi pengampu dan pembodek, tiada orang yang berani melaporkan keadaan yang sebenar. Sebab itu dia buat keputusan bebal untuk mengadakan ceramah besar di Bucharest yang bertujuan menenangkan ketegangan di negara.

Pada 21 Disember 1989, pekerja-pekerja dipaksa berhenti kerja dan dibawa oleh bas untuk mengumpul di dataran di tengah bandar. Orang yang cuma lalu tapak dataran sahaja juga turut diarahkan supaya mengumpul bersama, dan plakad dan bendera diedarkan di kalangan orang ramai, supaya nampak macam sokongan kepada Ceaușescu masih padu. Ceaușescu muncul di balkoni dan mula buat ucapan. Dia ingat orang ramai akan bersorak dan bertepuk tangan seperti biasa.

Sebaliknya, rakyat Bucharest mula berteriak mencemuh dia: “booo!” Mereka bersorak: “Ti-mi-șoa-ra!” Tidak pernah Ceaușescu berdepan dengan reaksi ini. Dia kaku. Mulut dia ternganga. Bingung. Ternampak orang lari di belakangnya.

Kesemua ini disiarkan secara langsung di televisyen kepada semua rakyat Romania. Detik-detik ini kini boleh dilihat dalam Youtube:

[https://www.youtube.com/watch?v=t6pvMFfQF50&ab_channel=HauntingEurope]

Sejurus selepas itu, siaran langsung dihentikan. Revolusi Romania sudah mula. Rakyat yang tengok apa yang berlaku dalam siaran televisyen turun ke jalan untuk tanya yang lain: benarkah apa yang berlaku? Adakah mereka benar-benar akan mencabar Ceaușescu? Rusuhan meledak di sekitar Bucharest. Pegawai Securitate dan polis menembak dan membunuh rakyat yang menentang. Tetapi askar tentera tidak turut serta, kerana mereka telah berputus untuk menyebelahi rakyat dalam perjuangan ini.

Keadaan menjadi sangat genting untuk Ceaușescu dan isterinya apabila pemberontak berjaya menyerbu masuk bangunan di mana mereka berada, dan merampas senjata api daripada pengawal bangunan. Ceaușescu panik. Mereka larikan diri dengan menaiki helikopter. Tetapi juruterbang helikopter sudah lihat dengan mata sendiri betapa besarnya pemberontakan yang berlaku semasa dia tengah tunggu di atas bangunan, jadi dia faham bahawa Ceaușescu sudah kehilangan kuasanya.

Juruterbang mendarat di satu kampung terpencil dan membuangkan Ceaușescu dan isterinya di sana. Selepas beberapa jam sahaja, Ceaușescu dan isterinya dijumpa dan ditahan oleh pihak tentera. Pegawai tentera membawa mereka ke sebuah berek tentera, dan menunggu arahan.

Untuk beberapa hari, sikap Ceaușescu berulang-alik di antara keingkaran dan kemurungan. Adakalanya dia bercakap seolah-olah dia masih pemimpin negara, padahal dia banduan. Dia cuba rasuah askar yang mengawasinya dengan menjanjikan wang sebanyak satu juta dolar atau salah satu villa mewah mereka, tetapi askar tidak lagi percaya dia dapat menepati janji seperti itu.

Selain itu, pasangan Ceaușescu merungut tentang keadaan tandas yang busuk dan kotor. Katil bujang terlalu kecil untuk mereka tidur. Makanan dan minuman yang diberi tidak naik selera; bagaimanapun mereka tidak berani makan apa-apa kerana takut kena racun.

Pada Hari Krismas, nasib mereka diputuskan. Beberapa jam sebelum itu, kerajaan baru yang dibentuk secara tergesa-gesa telah menyampaikan arahan untuk menghukum mati Ceaușescu dan isterinya untuk mencegah berlakunya perang saudara. Justeru itu, pegawai tentera dan kehakiman segera pergi ke berek tentera di mana Ceaușescu ditahan, dan menubuhkan mahkamah pengadilan sementara di dewan berek.

Ceaușescu dan isterinya dibawa masuk. Mereka masih pakai baju yang sama semasa mereka larikan diri lima hari lalu. Pembicaraan Ceaușescu dilangsungkan selama satu jam sahaja. Keputusan dan hukuman sudah dirancang dari awal.

Nicolae dan Elena Ceaușescu didapati bersalah kerana melakukan keganasan terhadap rakyat sendiri, dan dihukum tembak sampai mati.

Lepas itu, tangan pasangan Ceaușescu diikat di belakang mereka. Mereka merungut keras tetapi tidak berupaya buat apa-apa. Mereka dibawa keluar dari bilik. Salah satu askar mencemuh Elena, dia menyalak balik: “Go fuck your mother!”

Tidak sampai ke otak mereka bahawa mereka akan dibunuh beberapa ketika lagi, sehingga mereka nampak sebaris skuad penembak yang memegang senjata automatik AK-47 di depan dinding bangunan. Sekarang mereka benar-benar takut. Perkataan terakhir Elena ialah: “Kau tengok, Nicu, mereka akan membunuh kita macam anjing! Saya tidak percaya. … Kalau nak bunuh kami, bunuhlah kami bersama-sama!”

Senjata automatik melepaskan tembakan untuk beberapa saat sahaja.

Elena tumbang ke sebelahnya. Kakinya terkangkang. Mukanya diremuk peluru. Darah mengalir daripada kepalanya dalam satu baris lurus. Nicolae pula rebah ke belakang. Seorang doktor dengan cepat periksa mayat. Sebelum dia guna stetoskop untuk mengesahkan kematian, dia diarahkan untuk mengangkat kepala Ceaușescu, mukanya menunjukkan ekspresi tercengang, supaya kamera boleh menangkap wajah si mati dengan jelas.

Kesemua ini disiarkan dalam televisyen untuk semua rakyat dan wartawan antarabangsa pada keesokan hari.

Penangkapan, pengadilan, dan hukuman mati Ceaușescu dan isterinya boleh disaksikan dalam video Youtube ini

[https://www.youtube.com/watch?v=OY_cWGmfOrg&ab_channel=GREENUNITY4IRAN]. Sila dimaklumkan bahawa detik 4:30 dalam video menunjukkan dengan jelas tembakan mati dan pemeriksaan mayat Ceaușescu dan isterinya.

Demikianlah kisah seorang pemerintah yang kejam, yang mengambil sumber negara sebagai wang peribadi untuk memenuhi nafsu sendiri, yang menganiayai dan memiskinkan rakyat, yang memanjakan isterinya yang bongkak dan tamak, sehingga mereka berdua menimbulkan kebencian rakyat negara terhadap mereka, itupun mereka tidak sedar akan kebencian rakyat sehingga detik-detik akhir riwayat mereka. Harap-harap ini menjadi teladan kepada pemimpin negara kita.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

LANGGANI BULETIN KAMI

IKUTI KAMI

Berita Terkini

Bring Back The “Human” In All Of Us

WE live life doing repetitive tasks, habitual actions and...

Suatu erti merdeka

“Merdeka! Merdeka! Merdeka!” Menyahut seruan merdeka kali ini terasa amat...

Pakatan Harapan Harus Mulakan Rundingan Kerusi Untuk PRU15

Beberapa bulan sebelum PRU14, keempat-empat parti dalam gabungan Pakatan...

Tumbangnya Pemerintah Zalim Di Tangan Rakyat: I. Nicolae Ceausescu Diktator Romania

Nicolae Ceaușescu bersama dengan isterinya Elena memerintah Romania sepanjang...

berita berkaitanuntuk anda
di bawah