Tiada orang yang akan selamatkan kita

-

Adalah menjadi jangkaan biasa bahawa penulis harus memberi galakan positif atau harapan kepada pembaca. Mengikut jangkaan ini, saya sewajarnya mengingatkan kalian bahawa penggal Perdana Menteri atau kerajaan pasti akan sampai hari tamat suatu hari nanti. Saya perlu letakkan tanda pagar seperti #Lawan atau #RakyatJagaRakyat, seolah-oleh keghairahan untuk melawan ketidakadilan adalah mencukupi untuk menewaskan penyalahgunaan kuasa yang menyalahi sisi moral — tetapi yang sebenarnya dibenarkan di sisi undang-undang. Dan saya sepatutnya melaung sekali lagi tentang “kekuatan suara rakyat”, seakan-akan kita sebagai rakyat patut diberi sedikit sebanyak hormat oleh Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia, hanya kerana rakyat sudah memberi kerjasama dan kepatuhan yang menyeluruh dan menunjukkan kesabaran yang menakjubkan.

Tetapi saya tidak sudi. Saya tidak ingin buat satu pun daripada perkara-perkara yang “sewajarnya” itu.

Saya tidak tahan lagi dengan dalih yang bertujuan menenangkan hati orang. Pada saya, memberi kata-kata harapan manis pada masa ini bagai membubuh balsem pada luka, ianya melegakan kesakitan (dengan sensasi pudina) tetapi tidak merawat luka. Rasa lega itu membawa padah, kerana ia melunturkan perasaan terdesak yang menekan kita untuk kuatkan usaha mencari penyelesaian tanpa bergantung kepada orang lain.

Keadaan gawat yang dialami rakyat Malaysia sekarang tidak akan berubah, selagi kita semua masih menunggu orang lain untuk buat sesuatu — menunggu barisan hadapan, menunggu ahli politik pembangkang, menunggu badan amal dan sukarelawan. Ini hanya akan memanjangkan tempoh kita berada dalam keadaan yang memeritkan ini. Semakin lama, semakin biasalah kita hidup dalam keadaan ini, dan semakin kebas reaksi kita terhadap penghancuran negara. (Tak percaya? Tengoklah bagaimana kita menerima berita tentang jumlah jangkitan yang kian mencecah 20 ribu sekarang.) Kita bagai katak dalam periuk yang tidak perasan air telah menghampiri tahap mendidih.

Saya sudah penat melihat ucapan “semoga dipermudahkan segala urusan”.

Saya telah hilang kesabaran dengan rakyat Malaysia yang, walaupun niatnya baik, tetapi masih boleh berasa terkejut dengan kata-kata dan perangai Menteri dan wakil rakyat Perikatan Nasional yang bodoh, sombong, terang-terangan palsu, bersifat dua darjat, korup, atau zalim.

Wahai kawan-kawan, sudah 17 bulan dengan pemerintahan PN yang konsisten dengan kejadongan, masih boleh terkejut lagi?

Hati saya terguris apabila saya lihat orang tanya, tanpa rasa ironi atau kontradiksi: “apakah rancangan kerajaan untuk menangani krisis Covid-19?”, “takkan Perdana Menteri tidak dengar rayuan rakyat?”, “susah sangat ke nak ketepikan kuasa untuk kepentingan rakyat?”

Saya tidak faham mengapa masih orang yang tidak faham bahawa kerajaan PN tidak pernah utamakan kepentingan rakyat dalam rancangan mereka; bahawa tidak relevan kalau Tan Sri Mahiaddin dengar rayuan rakyat atau tidak, kerana itu langsung tidak kena mengena dengan jawatannya; bahawa yang penting kepada ahli politik PAS-UMNO-BERSATU ialah keutuhan genggaman kuasa mereka supaya kepentingan dan kekayaan mereka sendiri dapat dijamin.

Wahai saudara saudari, sudah 17 bulan, kalau masih begitu memberi muka kepada Perikatan Nasional, maka sampai mati pun kita tidak akan sedar bahawa kita semua telah dibohongi, diperalatkan, dan diabaikan oleh kerajaan jahanam ini.

Ya, kesedaran bahawa kerajaan Perikatan Nasional ialah kerajaan yang tidak mempedulikan rakyat memang sesuatu yang amat menyakitkan hati. Kita telah beri peluang, bagi masa, tapi masa yang diberi telah dibazirkan, macam kita hidangkan dia sup sedap dengan ikhlas tapi dia buangkan dalam longkang tanpa merasai sesuap pun.

Dan dalam tempoh masa yang telah dibazirkan ini, rakan, jiran dan ahli keluarga kita sudah mati satu persatu. Betapa pilunya hati bila terfikir hakikat ini.

Kesedaran ini tentu membawa sengsara dan kegeraman. Tetapi kita tidak harus elak daripada merasai sengsara dan kegeraman ini. Jangan lagi mencari-cari galakan positif atau berita baik di kalangan berita buruk, hanya untuk melegakan hati. Sebaliknya, kita perlu menyelubungi jiwa kita dengan rasa kemarahan dan putus harapan ini.

Kita kena menghadapi hakikat yang tidak selesa ini, iaitu wakil-wakil rakyat dan ADUN yang kita undi (ya, memang setiap satu daripada ahli politik PN ini, sama ada Muhyiddin Yassin atau Tajuddin Abdul Rahman atau Sanusi Md Nor, kesemua mereka menang atas undian kita) telah pecahkan amanah rakyat. Mereka langsung tidak peduli sengsara rakyat, tetapi hanya sibuk mengejar kuasa, wang, dan jawatan. (Jangan lupa Najib Razak daripada golongan ini; jangan kerana petikan Facebooknya membuat lucu kamu kira dia bukan sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional.)

Saudara saudari, hakikatnya, tiada sesiapa pun yang akan datang menyelamatkan kita.

Barisan Pembangkang tidak dapat selamatkan kita, melainkan kalian hendak mereka bertukar menjadi seperti Perikatan Nasional dan mencabul peraturan dan norma politik demi merebut kuasa. (Dan jikalau ahli politik Pembangkang bertindak demikian, siapa lagi akan anda undi pada pilihanraya nanti?) Yang DiPertuan Agong juga tidak dapat selamatkan kita. Baginda sudah usahakan apa yang mampu dilaksanakan sehingga batas kuasa yang ditetapkan oleh Perlembagaan Negara. Demi masa depan jangka masa panjang negara kita, Pembangkang dan Yang DiPertuan Agong harus menghormati had kuasa mereka, dan ini mereka sudah buat dengan elok.

Sekarang pembaca mungkin tertanya: adakah penulis mahu kita semua hidup dalam kemurungan dan putus asa? Sama sekali tidak! Saya harap semua ini akan menaikkan kemarahan anda, dan kemarahan ini akan menjadi bahan bakar yang memarakkan azam anda untuk buat sesuatu.

Sambil saya tulis ini, rakan saya Nathaniel Tan melakukan mogok lapar untuk menuntut pihak berkuasa melaksanakan lima tindakan untuk memerangi krisis Covid-19. (Lihat sini untuk 5 tuntutan Nathaniel.)

Anda mungkin tidak berani buat mogok lapar. Anda mungkin tidak berani turun jalan buat protes #Lawan. Anda mungkin tidak mencukupi wang untuk buat derma bantuan. Jangan berasa kesal, buatlah yang setakat mampu.

Jangan bergantung kepada orang lain untuk menentang racun JKOM yang giat menyebar keterangan palsu di Facebook dan TikTok — bentukkanlah pasukan serigala (wolf pack) dan serang mereka, dan pastikan fakta benar diambil oleh golongan pakcik makcik di Facebook itu. Jangan bergantung kepada orang lain untuk memujuk ahli keluarga anda untuk mengambil vaksin, tak kira jenama apa. Semua ini memakan masa dan memenatkan emosi. Buatlah juga, ambillah sebagai bebanan anda. Selain daripada ini, fikirkanlah perkara lain yang anda mampu menghulur pertolongan.

Jangan bazirkan masa lagi menunggu Perikatan Nasional berubah menjadi kerajaan yang bertanggungjawab.

Berikut ialah dialog satu babak dalam filem Lions For Lambs (2007) lakonan Robert Redford dan Andrew Garfield; pada saya, sebuah filem yang sangat underrated.

Professor: They bank on your apathy. They bank on your wilful ignorance. They plan strategies around it. They try to figure out how much they can get away with it because of that. … If all your rants about Congress and politics are true, Todd, if things are really bad, as bad as you say they are, when thousands of American troops are dead, with more dying every day, probably as we speak, you tell me, how can you enjoy the good life? Rome is burning, son! And the problem is not with the people who started it. They’re past irredeemable. The problem’s with us. All of us! Who do nothing. Who try to maneuver around the edges of the flame, and I’ll tell you something, there are people out there that are fighting to make things better.

Student: You think it’s better to have tried and failed, than failing to try, right?

Professor: Yeah.

Student: But what is the difference if you end up in the same place?

Professor: At least you did something.

[Youtube link: https://www.youtube.com/watch?v=V1hQuzJPRDA]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

LANGGANI BULETIN KAMI

IKUTI KAMI

Berita Terkini

Bring Back The “Human” In All Of Us

WE live life doing repetitive tasks, habitual actions and...

Suatu erti merdeka

“Merdeka! Merdeka! Merdeka!” Menyahut seruan merdeka kali ini terasa amat...

Pakatan Harapan Harus Mulakan Rundingan Kerusi Untuk PRU15

Beberapa bulan sebelum PRU14, keempat-empat parti dalam gabungan Pakatan...

Tumbangnya Pemerintah Zalim Di Tangan Rakyat: I. Nicolae Ceausescu Diktator Romania

Nicolae Ceaușescu bersama dengan isterinya Elena memerintah Romania sepanjang...

berita berkaitanuntuk anda
di bawah