Pakatan Harapan Harus Mulakan Rundingan Kerusi Untuk PRU15

-

Beberapa bulan sebelum PRU14, keempat-empat parti dalam gabungan Pakatan Harapan berjaya menyelesaikan rundingan pembahagian kerusi, dan pencapaian ini sentiasa disebut Liew Chin Tong sebagai sesuatu yang membanggakan, kerana ia tidak pernah berlaku dalam kalangan gabungan parti politik sebelumnya di Malaysia. Lebih lagi, persefahaman itu dicapai selepas rundingan selama beberapa bulan yang agak getir dan kasar di antara barisan pemimpin PH, bahkan sehingga satu tahap di mana Tun Mahathir membuat keputusan untuk menolak PH dan keluar daripada gabungan; hanya dengan usaha Nurul Izzah untuk pergi jumpa Tun Mahathir dan pujuknya kembali Tun lembutkan hati dan bersetuju untuk pulang ke meja rundingan.

Orang yang berada di luar politik mungkin tertanya, begitu susah ke untuk runding pembahagian kerusi?

Misalnya, ada yang tanya, kena mengambil kira kaum atau agama calon pilihan raya ke? Pada saya ini agak naif. Mereka tidak sedar tentang dilema antara ideal dan hakikat. (Perkara ini saya telah bentangkan dalam artikel yang lepas.) Memang benar kita mahu mencapai politik yang bebas daripada rasialisme, tetapi dalam merancang strategi untuk menempuhi politik semasa, ia merupakan kelemahan yang besar jika ahli politik tidak mengambil kira corak pemikiran para pengundi khususnya di kawasan yang bakal ditandingi dan mengemukakan calon yang paling sesuai untuk menang hati pengundi kawasan tersebut.

Maksudnya, terdapat sesetengah kerusi di mana calon daripada DAP mungkin tidak wajar dicalonkan buat masa sekarang, tidak kira calon itu kaum Cina atau tidak.

Selain itu, perkiraan politik dan aspirasi parti-parti pembangkang kena diambil kira juga.

Kita lihat contoh di Perak. Pada PRU14, DAP menang semua kerusi yang ditandinginya, sama ada pada peringkat persekutuan ataupun peringkat negeri. Secara perbandingan, PKR kalah dalam 10 daripada 14 kerusi yang ditandinginya; PPBM lebih gagal, ia hanya berjaya menang 1 daripada 15 kerusi yang ditandingi. Adakah ini bermaksud DAP harus bertanding di semua kerusi di Perak? Tentunya tidak.

Tetapi ia menunjukkan DAP patut diberi peluang untuk cuba nasib di kerusi yang lain daripada 7 kerusi Parlimen dan 18 kerusi DUN Perak yang dimenangi DAP dalam PRU14. Misalnya, DAP boleh menumpukan perhatiannya pada kerusi-kerusi yang dekat dengan kerusi yang dipegangnya sekarang. Namun, akibat kehendak PKR untuk mencalonkan ahlinya di kawasan majoriti Melayu, DAP mungkin dihalang daripada menambah kerusi yang boleh ditandinginya.

Ini mungkin kerana PKR berhasrat untuk mengurangkan perbezaan jumlah kerusi antara dua parti itu; buat masa sekarang, PKR hanya ada 4 kerusi DUN berbanding dengan 18 kerusi DAP. Mungkin lagi, PKR akan mengambil alih kesemua kerusi yang ditandingi PPBM, daripada memberi beberapa kerusi itu kepada DAP untuk cuba, walaupun ini mengundang risiko PKR akan kalah di kebanyakan kerusi itu dan PH akan kekal menjadi parti pembangkang negeri.

[Sumber: The Star. Pilihan raya di Perak; kerusi Parlimen di kiri, kerusi negeri di kanan.]

Atau, mungkin PH Perak akan bersetuju untuk membahagikan 15 kerusi yang ditandingi PPBM dengan setara di antara tiga parti yang masih bersama PH, iaitu 5 kerusi diberi kepada setiap parti, dan mereka boleh merunding siapa ada peluang yang terbaik di kerusi yang mana. Walau apapun, PH kena membuat keputusan bagaimana mereka hendak bekerjasama dalam pilihan raya yang seterusnya secepat mungkin.

Sebabnya ialah jentera parti tidak boleh turun padang dan mula kerja untuk membina perhubungan dengan penduduk tempatan atau menyediakan bantuan kewangan atau pembaikan infrastruktur melainkan mereka pasti mereka akan bertapak di sana untuk PRU15. Ini adalah kerana sumber mereka terhad.

UMNO beza, ia boleh bergantung kepada sejarah tradisi dan namanya. Oleh itu jentera UMNO hanya perlu mengumumkan program baru dan sudah pasti ada ramai penduduk Melayu akan hadir untuk menolong menjayakan program itu. Parti pembangkang lazimnya tiada kelebihan ini. Wakil rakyat pembangkang dan kakitangan mereka cukup sibuk menjaga penduduk dan menangani masalah di kawasan mereka, dan selain itu mereka juga kena mencari dana wang untuk membiayai program mereka.

Ramai menganggap usaha Syed Saddiq yang menjalankan kempen melalui publisiti besar untuk mengumpul wang berjuta ringgit supaya dapat membiayai program bantuan untuk penduduk Muar sesuatu yang kelakar, tetapi ia sebenarnya catatan buruk terhadap keputusan kejam kerajaan PN yang telah menarik balik peruntukan yang sepatutnya diberi kepada wakil rakyat pembangkang.

Apabila orang di Twitter beri komen bahawa “ahli politik pembangkang perlu turun padang”, mereka mungkin tidak sedar persoalan di mana datangnya tenaga manusia tambahan atau dana wang untuk memungkinkan usaha ini berlaku. Apabila pembangkang menjadi kerajaan, mereka tidak bersikap seperti BN yang tidak segan untuk mengambil wang kerajaan untuk kegunaan kegiatan parti sendiri yang bersifat politik.

Hasilnya, ketegasan berprinsip daripada pembangkang melemahkan kemampuan pembangkang untuk turun padang dan melangsungkan program-program yang dapat membina perhubungan dengan penduduk tempatan. Ada pula yang kata “DAP/PKR/Amanah tidak prihatin kepada golongan luar bandar” kerana bantuan yang dihulur tidak sebesar yang diberi oleh pihak BN.

Kesimpulannya, parti pembangkang perlu jimat, dan terpaksa menjadi lebih selektif di mana mereka akan menumpukan usaha, wang, dan kakitangan untuk misi turun padang mereka.

Dan mereka tidak akan dapat pilih kawasan di mana mereka akan tumpukan perhatian mereka selagi parti-parti PH belum selesai runding pembahagian kerusi yang masing-masing akan bertanding pada PRU15.

Mereka kena pastikan ini supaya mereka boleh menamakan calon masing-masing, dan calon-calon yang dipilih kena mulakan kerja secepatnya.

[Sumber: foto BERNAMA.]

Fikirkan, bagaimana seorang calon wakil rakyat membina hubungan dengan pengundi kawasan yang bakal ditandinginya, supaya para pengundi akan mengundinya? Ini bukan sesuatu yang mudah. Kalau situasi adalah sebaliknya, dan seorang ahli politik BN berhasrat memujuk anda yang menyokong PH untuk tukar undi anda kepada calon BN, apakah hujah atau tindakan yang boleh dia buat untuk menjayakan pujukannya? Tidak mudah, kan? Daripada sini anda boleh lihat betapa susahnya untuk memujuk pengundi yang sudah biasa mengundi BN untuk tukar undinya.

Anda tidak boleh masuk kawasan baru dan tanya secara terang-terangan, “kenapa kamu hanya undi UMNO?” Malah, anda langsung tidak boleh berbicara tentang apa-apa yang berbau politik pun. Sebenarnya, sebaik sahaja anda masuk warung dan duduk bersama mereka dan cuba buat ‘small talk’ untuk menang hati mereka, anda terus kelihatan seperti seorang ahli politik yang semata-mata nak dapatkan undi mereka, dan mereka tiada hati untuk berbual dengan anda lagi. Sekali lagi, letakkan anda di kedudukan mereka: bagaimanakah seseorang boleh mulakan perbincangan dengan anda dengan berjaya, iaitu anda akan berbuka hati dan sudi mendengar bicara mereka?

Ini sebabnya ahli politik biasanya mulakan pembabitan mereka dengan masyarakat tempatan melalui bantuan, sama ada makanan atau kewangan, atau mengenali keperluan dan pemikiran penduduk dulu, dan langsung tidak cakap tentang hal politik. Mungkin beberapa bulan selepas itu, ahli politik boleh mulakan perbualan politik, tetapi ia masih sesuatu yang berpotensi besar menjadi asing jika tidak dikendalikan dengan baik.

Oleh sebab itu, calon yang paling sesuai dipilih untuk memasuki kawasan yang baru untuk parti politik ialah calon anak tempatan. Tetapi masa diperlukan untuk cari calon tempatan yang turut sesuai daripada segi kemahiran politik dan membawa karisma, kecuali orang itu sudah dikenali oleh wakil rakyat kerana dia merupakan kakitangan pejabat, atau dia pernah menjadi sukarelawan program yang dianjurkan oleh wakil rakyat.

Mungkin ada orang di Twitter akan tertanya: wajarkah kita galakkan ahli politik pembangkang untuk berpolitik pada waktu pandemik masih berlanjutan?

Pertama sekali, “berpolitik” ini tidak semestinya sesuatu yang tidak elok, sebaliknya ahli politik boleh berpolitik secara bertanggungjawab.

Kedua, kita jangka perancangan strategi politik ini akan berlaku di luar masa dan usaha ahli politik pembangkang yang memang akan terus menjaga kebajikan penduduk kawasan mereka, dan juga terus membangkang kelemahan kerajaan dalam menangani dan membaikpulih situasi pandemik dan kekejaman pihak berkuasa menindas aktivis muda, dan sebagainya.

Sebaliknya, jika kita menunjukkan rasa tidak berpuas hati kepada usaha pembangkang untuk menyelesaikan perselisihan antara mereka pada masa sekarang, ini seakan mengikat satu tangan Lee Zii Jia di belakang badannya dan masih mendesaknya untuk menang pertarungan badminton dengan Chen Long. Adakah adil?

* * *

Perundingan perlu mula awalnya, kerana PH tidak hanya perlu berbincang sesama sendiri, tetapi mereka juga kena mengambil kira sekutu politik mereka, iaitu MUDA, Pejuang, dan Warisan. (Kita maklum selain itu ada juga Dr Maszlee, UPKO dan PSB.)

Dalam Twitter, MUDA ada penyokong dan juga pengkritiknya. Ada yang tidak senang dengan pendirian MUDA untuk tidak menyertai gabungan, sama ada PN atau PH. Ada penyokong PH yang menaruh syak wasangka terhadap Syed Saddiq, yang masih berbaik-baik dengan Tun Mahathir dan Muhyiddin, walaupun ini sebenarnya sesuatu yang munasabah kerana mereka merupakan tokoh pembimbing (mentor) yang membuka jalan untuk Saddiq masuk ke gelanggang politik. Tidak akan Saddiq perlu membelakangi mereka hanya kerana mereka tidak lagi bersama dalam parti PPBM, atau bertukar menjadi lawan dalam politik?

Hakikatnya, tuntutan politik parti MUDA jauh lebih seiras dengan ideologi politik parti-parti PH berbanding dengan BN. Dan sepanjang kewujudan MUDA, pergerakan politik Syed Saddiq adalah seiring dengan PH, termasuk minggu lalu di mana Saddiq berusaha bersama pemimpin PH lain untuk mengekalkan benteng pembangkang sebanyak 105 kerusi itu. Jangkaan saya, MUDA akan pilih untuk bekerjasama dengan PH pada PRU15 nanti.

Namun, jika perundingan kerusi di kalangan parti pembangkang cukup rumit, kehadiran MUDA dalam perbincangan hanya akan menambah kerumitan itu. Sebagai parti baru yang belum diuji sambutannya di kalangan pengundi, parti MUDA wajar sedar bahawa mereka tidak boleh membuat permintaan yang terlampau kepada PH dalam isu pengagihan kerusi.

Pada masa yang sama, tidak berfaedah jika PH menyisihkan MUDA dalam perkara ini, kerana jika MUDA tidak peduli PH dan bertanding di beberapa kerusi yang juga ditanding oleh calon PH, MUDA mungkin akan menang beratus atau beribu undi dan ini mungkin cukup untuk mengakibatkan kekalahan PH kepada calon PN atau BN.

Jadi, perundingan di antara PH dan MUDA penuh dengan dilema dan ketidakpastian. Tetapi jika mereka buka saluran perbincangan sekarang, mereka akan mengeluaskan kebarangkalian untuk MUDA berjaya, dan ini membawa manfaat kepada PH juga.

Satu perkara yang MUDA buat dengan baik ialah pemimpin mereka yang berkemungkinan menjadi calon sangat giat menonjolkan diri dalam media sosial dan kegiatan aktivisme. Saya kenal sedikit siapa Dr Thanussha, Dr Mathen, Shahrizal Denci dan Amir Abd Hadi, dan jika mereka dipilih untuk bertanding dalam PRU15, mereka mempunyai kelebihan berbanding dengan calon lain yang tidak pernah saya dengar.

Saya percaya orang lain yang kuat mengunjung sosial media juga seba sedikit mengenali barisan pemimpin MUDA ini. Ini sesuatu yang wajar dicontohi PH juga. Mereka haruslah mula menonjolkan calon potensi mereka, terutamanya dalam sosial media. Mereka tentu akan membuat kesilapan, tetapi lebih baik buat silap sekarang, daripada kantoi selepas Hari Penamaan PRU15.

Persefahaman di antara PH dan Pejuang mungkin lebih rumit. Pada saya, Pejuang tiada masa depan jangka masa panjang dalam politik negara. Pengumuman dekat ini bahawa Pejuang berhasrat untuk bertanding di 120 kerusi hanya menimbulkan reaksi keraguan. Tun Mahathir sendiri belum pasti akan bertanding pada PRU15. Namun begitu, tidak boleh dinafikan bahawa Tun Mahathir masih menanggung kesetiaan beratus ribu pengundi Malaysia. Jelas bahawa PH tidak mampu bertahan jika mereka kehilangan sokongan golongan pengundi ini. Tetapi, tidak nampak sesuai juga untuk PH menawar banyak kerusi untuk Pejuang bertanding.

Pengetahuan saya tentang keadaan politik Sabah dan Sarawak tidak mencukupi untuk mengulas tentang bagaimana PH harus berunding dengan Warisan dan parti Borneo yang lain. Pada saya, GPS menaruh niat yang buruk terhadap PH. Tumpuan mereka untuk hanya prihatin terhadap perkara yang manfaatkan rakyat Sarawak sahaja memanglah sesuatu yang munasabah.

Apa yang saya kritik ialah ketidaksudian mereka untuk wujudkan kerjasama dengan PH, walaupun terdapat peluang yang baik untuk kerjasama itu berlaku. Selain itu, kesemua menteri daripada GPS di bawah kerajaan PN malas. Baik anggap GPS sebagai musuh sahaja, seperti PAS. Kalau boleh, cuba menandingi beberapa kerusi daripada mereka; kalau tidak mampu, biarkan, dan tumpukan perhatian dan usaha pada kerusi yang lain.

Saya diberitahu bahawa di Sarawak, parti politik tidak sepenting latar belakang calon dalam pertimbangan pengundi. Bolehkah DAP di Sarawak atau PKR di Sabah mencari calon anak tempatan di kerusi yang mereka belum pernah menang? Adakah 20 bulan cukup untuk calon PH buat persediaan untuk menumpaskan calon GPS atau BN/PN (yang mungkin senang mencapai kemenangan kerana dana wang mereka terlalu besar, ataupun mereka merupakan anak kepada tokoh pemimpin silam Sabah dan Sarawak yang masih disanjungi)?

Saya diberitahu bahawa DAP pernah menubuhkan organisasi yang telah membawa bantuan daripada segi infrastruktur asas, pendidikan, dan pengusahaan kepada penduduk di pedalaman Sarawak dan Sabah. Rancangan mereka ialah untuk membantu penduduk tempatan dan menjalin hubungan yang baik dulu sebelum membawa jentera politik DAP untuk mewujudkan persefahaman politik. Setahu saya, program itu tidak membawa kejayaan yang ketara.

[Sumber: Profil Facebook Hannah Yeoh.]

Hubungan wakil rakyat Warisan dengan rakan sekerja mereka daripada PH sangat akrab. Tetapi, cita-cita Shafie Apdal untuk menjadi Perdana Menteri (pada saya, sesuatu yang agak mustahil kerana dia belum pernah membuktikan kemahiran pemimpinan dan karismanya) mungkin menjadi halangan dalam perundingan. Harap-harapnya PH dan Warisan boleh berunding dengan baik, memandangkan mereka sudah banyak bekerjasama sejak PRU14.

* * *

Mungkin ada yang berpendapat bahawa diskusi ini agak panjang lebar, atau merunsingkan. Namun, pada saya, diskusi setakat ini hanya menyentuh permukaan kerumitan yang bakal didedahkan semasa perundingan pembahagian kerusi antara parti PH dengan sekutunya.

Ada orang yang akan kata: “kami memang tidak kisah siapa bertanding di mana, kamu semua selesaikan sendiri, boleh tak? Kami nak kamu menang, itu sahaja, yang lain kita tidak mahu ambil tahu.” Dan ini benar, memang ini tanggungjawab pembangkang untuk selesaikan sesama sendiri. Tetapi tujuan saya untuk membentangkan liku-liku masalah yang bakal dihadapi PH adalah untuk mengingatkan para pembaca bahawa perundingan ini bukan sesuatu yang jelas dan mudah. Seorang ADUN DAP kata: “Dinamik menang atau kalah sesuatu yang melibatkan pelbagai dimensi.”

Apabila orang di Twitter mengeluarkan kata-kata dengan mudah bahawa pembangkang haruslah “kuatkan semangat”, “kena rajin sikit”, “kenapa tidak turun padang” … mereka sepatutnya berhenti seketika dan fikirkan apa yang mereka sebenarnya minta daripada pembangkang, dan selepas itu bayangkan apa yang mungkin telah pembangkang buat di sebalik tabir, renungkan sama ada anggapan mereka tentang pembangkang setakat ini adalah benar, dan adakah pembangkang mempunyai kemampuan untuk mengusahakan lebih daripada yang dibuat setakat ini, dan adakah mereka memerlukan bantuan daripada ANDA untuk menjayakan misi turun padang mereka. Mungkinkah PH bakal tewas hanya kerana mereka tidak mendapat pertolongan daripada penyokong, yang kerap suka kritik atau bagi arahan di media sosial sahaja?

Desakan saya kepada PH ialah: sila mula sekarang. Yang pasti akan berlaku pergaduhan dan ketegangan, mungkin sehingga tahap perpecahan. Buatlah semua itu sekarang, sementara kerajaan sibuk dengan perkelahian mereka sendiri dan juga diikat oleh tanggungjawab mereka untuk mengurus kegawatan pandemik. Cuba sedaya upaya untuk mencapai persefahaman, dan berbaik semula, dan bersatu semula. Perpaduan di antara parti PH dan sekutunya, inilah yang kita sebagai penyokong pembangkang hendak lihat. Perpaduan inilah yang akan meyakinkan kami dan memberi ilham untuk kami turut berjuang bersama pembangkang untuk merampas negara tercinta balik daripada genggaman kerajaan gagal dan kleptokrat UMNO-PAS-PPBM-GPS.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

LANGGANI BULETIN KAMI

IKUTI KAMI

Berita Terkini

Melaka elections – a repetition of the Sabah 2020 elections?

The Melaka State Assembly was dissolved on October 4th,...

Bring Back The “Human” In All Of Us

WE live life doing repetitive tasks, habitual actions and...

Suatu erti merdeka

“Merdeka! Merdeka! Merdeka!” Menyahut seruan merdeka kali ini terasa amat...

Pakatan Harapan Harus Mulakan Rundingan Kerusi Untuk PRU15

Beberapa bulan sebelum PRU14, keempat-empat parti dalam gabungan Pakatan...

berita berkaitanuntuk anda
di bawah