Orientalisme dalam Pengkajian Alam Melayu

-

Syed Farid Alatas

Sejak kurun ke-19 menjelma kesedaran akan kekurangan kecocokan antara ilmu-ilmu kemasyarakatan Barat dan kenyataan sosial di dunia Melayu. Pelbagai contoh ketidaksesuaian faham-faham, teori-teori, dan andaian-andaian Barat diperhatikan dalam karya-karya kritik tentang kedudukan ilmu-ilmu kemasyarakatan di dunia Melayu.

Kenyataan bahawa ilmu-ilmu kemasyarakatan muncul di Barat, diamalkan di dunia Melayu pada mulanya oleh sarjana-sarjana penjajah dan Eropah selainnya, dan akhirnya ditanamkan dalam kalangan sarjana tempatan semasa dan selepas kemerdekaan, membangkitkan persoalan kesesuaian ilmu-ilmu ini untuk masyarakat-masyarakat Alam Melayu.

Beberapa sarjana pada kurun ke-19 dan lebih ramai lagi pasca-penjajahan mencatat bahawa ilmu-ilmu kemasyarakatan tidak boleh dipindahkan dari suatu latar sejarah dan ekonomi-sosial tertentu kepada yang lain tanpa memutar-belitkan pemahaman terhadap kenyataan itu. Secara ringkas, masalah ketidaksesuaian ilmu-ilmu kemasyarakatan Barat telah dikenalpasti dan keperluan membangkitkan pengganti-pengganti yang sesuai telah diakui.

Masalah ketidaksesuaian ini berkaitan dengan suatu orientasi yang dinamakan Orientalisme yang berterusan menguasai pengkajian Melayu-Indonesia. Zaman penubuhan ilmu-ilmu kemasyarakatan dan institusi-institusi dalam mana mereka diajar dan berkembang di dunia Melayu dimulakan oleh sarjana-sarjana dan pentadbir-pentadbir penjajahan sejak kurun ke-18, dan juga oleh orang Eropah selainnya secara langsung dan tidak langsung. Bidang-bidang ilmu mengenai Kepulauan Melayu-Indonesia yang menjelma akibat daripada usaha mereka dihinggapi beberapa masalah yang berasaskan kepada Orientalisme.

Masalah di sini adalah bahawa sebahagian daripada ilmu dari Barat bersifat Orientalis. Ciri-ciri ilmu yang bersifat Orientalis seperti berikut:

  1. Pemikir dan gagasan tempatan dan serantau diketepikan dalam erti mereka tidak dianggap sebagai sumber teori dan faham. Contohnya, Ibn Khaldun dan Jose Rizal. Bahasa kita dianggap hanya sebagai alat komunikasi dan terjemahan daripada Bahasa Inggeris, dan bukan sebagai penyimpan konsep, sebagai khazanah atau sumber faham. Contohnya faham merantau, orang darat-orang laut, masyarakat menetap (hulu-hilir) dan masyarakat mengembara (orang laut) yang masih belum menjadi faham huraian dalam pengajian Melayu sepertimana ia dipelihara di Barat.
  1. Kadangkala faham dan teori dari Barat memutarbelitkan kenyataan kita. Contohnya daripada kajian Belanda tentang agaman Hindu di Indonesia. Mereka mengatakan ada orang yang menganuti agama Hindu pada zaman pra-penjajahan. Ini merupakan suatu pemutarbelitan sejarah kerana pada kurun-kurun dahulu masih belum wujud agama itu. Apa yang difahami sebagai agama Hindu di India sebenarnya terdiri daripada pelbagai agama. Orientalis yang meneliti tentang India mengandaikan semuanya adalah bahagian daripada satu agama yang para Orientalis namakan Hinduisme. Para Orientalis sebenarnya mencipta suatu agama yang baru yang lambat-laun menjadi suatu kenyataan di India pada zaman penjajahan. Orang Belanda yang menemui penganut agama Visnu dan Siva mungkin menyimpulkan keduanya adalah bahagian dari agama Hinduisme, sedangkan tidak mungkin orang Bali pada zaman pra-penjajahan menganggap diri mereka sebagai orang Hindu.
  1. Orientalis, dalam kajian mereka terhadap sejarah, budaya dan masyarakat bukan Barat seringkali menegaskan dimensi negatif yang sehaluan dengan pandangan rendah mereka terhadap bukan Barat. Contohnya, nilai-nilai feudal yang menggarisbawahi sastera Melayu diketengahkan seolah-olah tidak ada tradisi bukan feudal atau anti-feudal dalam sastera Melayu. Ini didorong atau dipengaruhi oleh prasangka-prasangka mereka terhadap masyarakat Melayu.

Begitu sungguh perhatian terhadap masalah ini sehingga muncul rumusan pelbagai pemandangan teoretik terhadap keadaan ilmu-ilmu kemasyarakatan di Dunia Ke-3 yang mengajukan penilaian kritik akan pengaruh ilmu-ilmu kemasyarakatan Barat atas bidang-bidang ilmiah di Dunia Ke-3.

Sejak abad ke-19, para sarjana alam Melayu dan cendekiawan lain membahas keadaan ilmu-ilmu kemasyarakatan di rantau ini. Penilaian mereka acap melibatkan kritik terhadap Orientalisme dan penanaman secara tidak kritikal ilmu-ilmu kemasyarakatan Amerika Syarikat dan Eropah di alam Melayu.

Banyak karya jenis ini diterbitkan di Malaysia dan Singapura, termasuk tulisan-tulisan Syed Hussein Alatas, Shaharuddin Maaruf, Wan Zawawi Ibrahim, Syed Farid Alatas, Goh Beng Lan, dan Azhar Ibrahim.

Masalah serupa diungkapkan pertama kali di Indonesia, bukan oleh orang Indonesia sendiri, melainkan oleh para sarjana Belanda. Yang mula-mula menentang Orientalisme dalam ilmu-ilmu kemasyarakatan, dalam kalangan Belanda khususnya, dan dalam kalangan orang-orang Eropah secara umum, adalah Jacob Cornelis van Leur.

Ia mengkritik kecenderungan Erosentrik yang ditemukan dalam pengetahuan Belanda mengenai Hindia Belanda. Ia menulis dalam bahasa Belanda, tetapi beberapa makalahnya diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Van Leur terkenal kerana tulisannya yang menentang perspektif dari “geladak kapal, dinding-dinding benteng, balkon tinggi rumah-rumah dagang”.

Secara perlahan, orang-orang Indonesia sendiri mulai menulis tentang masalah Orientalisme yang muncul dalam penulisan sejarah Indonesia, termasuk Armin Pane dan Soedjatmoko.

Beberapa sarjana juga menyoroti masalah imperialisme intelektual dan gagasan-gagasan terkait. Pada 1950-an, Syed Hussein Alatas dari Malaysia merujuk pada “import secara besar-besaran gagasan-gagasan dunia Barat ke masyarakat Timur” yang dilakukan tanpa pertimbangan sepatutnya dari segi konteks sosial dan sejarah.

Ini disebutnya sebagai masalah asas penjajahan. Lebih lanjut ditunjukkan cara berfikir penduduk terjajah memiliki kaitan dengan imperialisme politik dan ekonomi. Oleh kerana itu, kita dapat merujuk kepada suatu jenis imperialisme, iaitu, imperialisme akademik.

Minda Tertawan

Jenis minda yang tertawan oleh Orientalisme bercirikan cara memikir yang dikuasai oleh pemikiran Barat. Masalahnya bukan pengambilan dari pemikiran Barat sendiri, tetapi cara tanpa kupasan dan tiruan dalam mana ilmu dari Barat dimengerti dan diterima.

Suatu demonstration effect mengakibatkan tiruan di segala aras kegiatan-kegiatan kesarjanaan, termasuk penetapan masalah, analisis, pembentukan faham, penggambaran, penghuraian, dan penafsiran. Daripada teori tawanan watak kita dapat memahami ketidaksesuaian sebagai bercirikan ilmu masyarakat yang ditentukan oleh ketidakbolehan membangkitkan masalah asli dan merencanakan kaedah asli demi penyelesaian masalah.

Penulisan ilmiah watak tertawan juga berasaskan kepada “ketidaknyataan andaian-andaian asas, abstraksi yang salah, ketidaktahuan atau salah penafsiran fakta-fakta, dan pemahaman keliru terhadap masalah-masalah tertentu” dalam ilmu-ilmu kemasyarakatan, seperti yang dihuraikan oleh Syed Hussein Alatas.

Masalah ketidakselarasan antara andaian dan kenyataan mengakibatkan masalah penerapan teori-teori, faham-faham serta model-model Barat. Teori-teori yang mengkritik Orientalisme, Erosentrisme, dan kupasan pasca-penjajahan terus-menerus menunjukkan bagaimana teori-teori yang tidak dapat diterapkan masih dipaksakan pada fakta-fakta sejarah, yang akhirnya menjadi binaan yang sangat diragukan.

Contoh terkenal faham ragam pengeluaran Asiatic Marxisme. Ketidakjituan dalam erti ketidakterapan di sini disebabkan oleh ketidakcocokan antara teori dan kenyataan empiris.

Wacana Pengganti

Pemahaman bahawa ilmu-ilmu kemasyarakatan di Asia memiliki masalah sebagaimana disebutkan dan dibincangkan tadi menimbulkan balasan dalam kalangan sarjana Barat dan bukan Barat. Pengenalan masalah ketidaksesuaian adalah suasana tepat untuk memahami seruan untuk kesesuaian.

Ini menjelma dalam bentuk anjuran untuk mentafsirkan semula sejarah. Sejarah yang ditafsir semula merupakan apa yang Edward Said dalam buku beliau, Culture and Imperialism, menamakan revisionary history, iaitu penulisan sejarah yang menolak wacana berpengaruh dan berkuasa dan yang “melebihi perlawanan Timur menentang Barat, dan secara cendekia dan empirik mencuba memahami perkembangan beraneka-ragam dan yang seringkali aneh, yang dahulu tiada tercapai oleh apa yang dinamakan sejarawan dunia dan juga Orientalis penjajahan…”

Di dunia Melayu, seorang pendukung awal ilmu-ilmu kemasyarakatan dalam bentuk non-akademik, adalah Abdullah Abdul Kadir Munshi (1796-1854). Salah satu karyanya adalah Kesah Pelayaran Abdullah pada 1838. Abdullah merupakan seorang pengamat yang tajam mengenai masalah keterbelakangan masyarakat Melayu pada zamannya, yang baginya disebabkan oleh tatanan atau susunan feudal.

Abdullah menilai dampak feudalisme pada pikiran Melayu yang ia pandang bertentangan dengan nilai-nilai Islam. Karyanya merupakan catatan kritik pertama mengenai feudalisme Melayu.

Cendekiawan Indonesia, Armin Pane, menerbitkan sebuah makalah pada 1951 berisikan gambaran besar mengenai sejarah Indonesia yang Indosentrik. Ini bukan berarti karya-karya atau sumber asing harus diabaikan, tetapi lebih menempatkan mereka dari sudut pandangan sejarah Asia dan Asia Tenggara, bukan Eropah.

Indosentrisme dapat difahami sebagai upaya membetulkan sejarah Indonesia yang, dari kaca mata Belanda, tidak lebih dari perluasan sejarah seberang laut Belanda. Caranya dengan menumpukan perhatian pada orang Indonesia sendiri sebagai pelaku sejarah.

Syed Hussein Alatas mengemukakan cadangan membina semula sejarah Kepulauan Melayu-Indonesia yang terkait dengan metodologi dan falsafah sejarah. Karya Alatas dalam mana penafsiran semula sejarah dilakukan adalah bukunya, The Myth of the Lazy Native, yang diterbitkan pada 1977.

Contoh-contoh lain dari karya Alatas yang mengkritik Erosentrisme termasuk falsafah politik Raffles dan seruan beliau untuk menumbuhkan tradisi ilmu-ilmu kemasyarakatan mandiri di Asia.

Karya awal lain tentang rekonstruksi adalah karya saudara Alatas, Syed Muhammad Naquib Al-Attas mengenai pengislaman dunia Melayu. Karya beliau, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, mengemukakan teori umum mengenai pengislaman Kepulauan Melayu-Indonesia.

Al-Attas menggarapnya dengan meneliti “konsep-konsep istilah pokok yang berubah dalam bahasa Melayu” di abad ke-16 dan 17.

Usaha-usaha seumpama ini telah bermula tetapi tidak berterusan dan masih belum mempengaruhi bidang pengkajian Melayu-Indonesia. Jika kita merujuk kepada tulisan revisionary history, iaitu penulisan sejarah yang menolak wacana berpengaruh dan berkuasa, contohnya, karya Syed Hussein Alatas dan Syed Muhammad Naquib Al-Attas, buku dan makalah mereka jarang dipetik atau disebut secara luas dan kritikal, sepanjang yang menyangkut pandangan mereka terhadap Orientalisme.

Foto: Global Social Theory

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

LANGGANI BULETIN KAMI

IKUTI KAMI

Berita Terkini

Melaka elections – a repetition of the Sabah 2020 elections?

The Melaka State Assembly was dissolved on October 4th,...

Bring Back The “Human” In All Of Us

WE live life doing repetitive tasks, habitual actions and...

Suatu erti merdeka

“Merdeka! Merdeka! Merdeka!” Menyahut seruan merdeka kali ini terasa amat...

Pakatan Harapan Harus Mulakan Rundingan Kerusi Untuk PRU15

Beberapa bulan sebelum PRU14, keempat-empat parti dalam gabungan Pakatan...

berita berkaitanuntuk anda
di bawah