Merenung Kembali 2020, Menuju Depan 2021

-

Kata-kata sejarahwan dan filsuf Itali, Antonio Gramsci, “the old is dying and the new cannot be born” antara peringatan yang paling menangkap suasana masyarakat dan dunia tahun 2020.

Pandemik COVID-19 telah, sehingga waktu ini ditulis, sampai 83,102,166 kes dengan 1,812,671 kematian. Kehidupan di serata dunia binasa dan berhenti begitu sahaja. Suatu fenomena yang sebelumnya tidak pernah terjadi pada skala begini.

“The old is dying” itu menjadi sangat nyata, secara literal dan metaforis.

Erti metaforisnya yang menekan kerana menunjukkan bahawa sistem-sistem dan pendekatan lama tidak lagi memadai. Cara dan gaya sedia ada untuk memikirkan tentang makna kekayaan, kemajuan, kebajikan dan hubungan manusia perlu berubah.

Perspektif kita tentang kehidupan, khususnya kehidupan politikal dan bermasyarakat juga menuntut permurnian dan anjakan.

Rangkuman perkembangan semasa dan lalu telah membuktikan keperluan ini: kesan krisis kesihatan awam di semua benua dunia, kegawatan ekonomi antarabangsa dan nasional serta tempatan, keruntuhan tatanan sosial dan interogasi nilai politik di Amerika Utara, Eropah dan Timur Tengah, semangat nasionalisme dan ekpresi populisme kanan yang telah membulat, dan yang utama sebelum peristiwa pandemik berlangsung, yaitu krisis perubahan iklim serta sekuriti makanan dan alam dan sumber asas.

Di Malaysia, bukan sahaja yang lama kian menghilang dan tidak memadai. Pada waktu sama, kebuntuan mana yang baru tidak dapat dilahirkan dan terus bangkit mempribadikan dilemma yang mendesak dan rumit.

Dalam konteks bernegara dan berkerajaan, permainan politik yang bersifatkan personaliti dan kepentingan serta nafsu kuasa telah melenyapkan dan kuburkan terus apa-apa visi dan perjuangan yang sebelumnya ditegakkan, atau cuba didirikan untuk bangunkan negara-bangsa yang maju dan sejahtera.

Titik tumbang ini kerap dihubungkan balik kepada “Langkah Sheraton” dan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan. Dan juga, perebutan kuasa antara figura-figura veteran dalam barisan kerajaan ketika itu.

Kemerosotan politik, walaubagaimanapun, telahpun berlaku dan bermula lebih awal lagi. Seawal bermula tahun 2013, dan selepasnya, tahun 2018. Apa yang berlaku pada bulan Februari dan Mac 2020, hanya simpton dan kesan kepada kekosongan politik yang telah lama dibiarkan.

Lanjutan daripada itu, konflik dan pergelutan figura juga menegaskan dua perkara asas.

Yang pertama, barangkalinya sudah terserlah masing-masing mereka yang bersaing dan bersilat dalam panggung politik kebergantungan mereka pada kuasa dan sistem otoriti negara dan mekanisme pentadbiran.

Bayangannya adalah tanpa semua akses kepada sumber dan cabang kuasa ini, kerja-kerja dan perubahan politik tidak dapat dijalankan.

Politik sudah tidak sekadar perjuangan untuk menggerakkan visi dan rohani negara dan perubahan masyarakat, tetapi pembolotan dan pemilikan kuasa politik formal dan sumber ekonomi nasional. Bagi mereka yang masuk gelanggang, termasuk penyokong mereka, idealisme sahaja tidak cukup, tetapi pulangan dan jaminan kewangan dan kuasa yang dapat diberikan.

Keduanya, wujud pertentangan yang sengit tentang bagaimana negara Malaysia harus dibentuk, dan identiti yang patut melambangkannya. Dalam konteks ini, perlawanannya adalah berkenaan soal jiwa negara-bangsa Malaysia. Pertaruhannya: erti dan sifat Malaysia itu sendiri.

Ada yang mempercayai bahawasanya politik identiti termasuk etnik dan agama tidak dapat dipisahkan daripada bentuk dan masa depan Malaysia. Ada yang lain mengajukan politik nilai kini lebih kukuh bertapak dalam masyarakat dan merupakan landasan untuk Malaysia terus mara ke depan.

Tidak tertinggal juga mengarusbawahi wacana ini adalah perbahasan tentang kepemilikan dan hak atas sumber kekayaan dan jana ekonomi negara. Adakah bicara kemajuan ini perlu ditanggapi melalui persoalan etnik dan agama, ataupun perlu dilihat dalam kerangka berbeza seperti keperluan dan kebajikan dan persoalan pembangunan adil, menjadi isu utama.

Di tengah pertentangan polarisasi erti Malaysia dan kebajikan komuniti-komuniti yang membentuknya, sudah timbul suara-suara baru daripada generasi muda yang kecewa dengan perkembangan politik semasa dan menginginkan sesuatu yang segar dan lebih bermakna.

Kelompok ini tidak seragam, dan pelbagai dalam kepercayaan, sudut pandang dan fahaman mereka. Kebanyakkan daripada mereka tidak mempunyai memori jelas tentang peristiwa-peristiwa ikonik negara dan gerakan-gerakan yang pernah mewarnai lanskap politik Malaysia. Antaranya seperti Reformasi 1998, BERSIH, dan GE12.

Walaupun golongan ini tidak tersusun, kurang dalam pengalaman dan memori politik gerakan besar, dan tidak bulat lagi pengajuan gagasan dan tuntutannya, mereka masih membentuk kumpulan paling signifikan dalam menentukan hala tuju politik dan masa depan negara.

Dalam merenung kembali tahun 2020, dan usaha memaknai peristiwa-peristiwa yang bakal berlangsung pada tahun 2021, dijangkakan generasi dan pemimpin muda akan tetap relevan dan penentu kepada landasan dan arah yang Malaysia akan tuju, dan kekal sebagai tenaga yang padu jika terbangun daripada lenanya.

Foto: ALIRAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

LANGGANI BULETIN KAMI

IKUTI KAMI

Berita Terkini

Melaka elections – a repetition of the Sabah 2020 elections?

The Melaka State Assembly was dissolved on October 4th,...

Bring Back The “Human” In All Of Us

WE live life doing repetitive tasks, habitual actions and...

Suatu erti merdeka

“Merdeka! Merdeka! Merdeka!” Menyahut seruan merdeka kali ini terasa amat...

Pakatan Harapan Harus Mulakan Rundingan Kerusi Untuk PRU15

Beberapa bulan sebelum PRU14, keempat-empat parti dalam gabungan Pakatan...

berita berkaitanuntuk anda
di bawah