Mencari Bumi dan Rumput Hijau

-

Malaysia digemparkan dengan berita tentang Jocelyn Yow, seorang wanita berketurunan Malaysia yang berumur 25 tahun dilantik sebagai ‘Datuk Bandar’ bandar Eastvale di California, USA. Orang ramai menyambut berita ini dengan perasaan bangga atas pencapaian seorang anak muda Malaysia, namun berita ini telah membuka persoalan yang sangat membimbangkan apabila orang ramai juga menyatakan Jocelyn Yow bukan saja tidak mungkin dilantik sebagai ‘Datuk Bandar’ malah tidak diberi peluang untuk bertanding pun sekiranya beliau masih menetap di Malaysia.

Persitiwa ini telah membuktikan kisah ‘diaspora’ Malaysia yang semakin meningkat bilangannya dalam fenomena sosial yang dipanggil ‘brain drain’ yang boleh membantut perkembangan ekonomi negara dalam jangka masa yang pendek dan penghancuran ekonomi sepenuhnya dalam jangka masa yang panjang.

‘Diaspora’ ialah terma bagi sesuatu kaum atau kewarganegaraan yang hidup berselerak di serata dunia. Menurut laporan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations) terdapat 1,730,152 diaspora warga negara Malaysia pada tahun 2019.

Tetapi sebagai penjelasan lanjut 55% daripada bilangan tersebut menetap di Singapura dan tidak boleh dikenal pasti dengan tepat sama ada mereka menetap di sana, ataupun bergerak ulang-alik dari Johor ke Singapura setiap hari untuk berkerja. Yang lebih menarik lagi ialah menurut kajian tentang pergerakkan penduduk Asia Tenggara dan China yang dibuat oleh Stanford University, USA, terdapat ‘trend’ peningkatan bilangan diaspora Malaysia sejak tahun 2009.

Menurut kajian tersebut terdapat hanya antara 800,000 dan 1,400,000 orang diaspora Malaysia pada tahun 2009 dan hanya 45% daripada bilangan tersebut berada di Singapura. Namun dalam masa 10 tahun, peningkatan diaspora Malaysia ke Singapura semakin menurun dan terdapat peningkatan diaspora Malaysia di United Kingdom, United States of America, Australia dan Canada. Juga dijangkakan tanpa apa-apa perubahan dasar, akan terdapat lebih banyak diaspora Malaysia pada 2029 mungkin 2 kali ganda lebih banyak tetapi itu hanyalah anggaran kajian.

‘Brain Drain’ seperti yang dikatakan tadi ialah fenomena sosial dimana perkerja yang berkebolehan dan terlatih atau ‘skilled workers’ yang mendapat pendidikan di sebuah negara meninggalkan negara tersebut untuk berkerja di negara lain. Ini adalah perkara yang buruk untuk negara asal kerana 3 sebab. Pertama, kerajaan telah membelanjakan duit rakyat untuk mendirikan infrastruktur dan membiayai pendidikan pekerja-pekerja ini dengan harapan mereka dapat menaikkan taraf perkerjaan di negara, tetapi mereka pula berhijrah ke negara lain dan menaikkan taraf perkerjaan di negara tersebut.

Kedua, ‘brain drain’ boleh mengganggu perancangan ekonomi jangka masa yang panjang. Sebagai contoh, bayangkan jikalau dalam masa 10 tahun akan datang, Malaysia merancang untuk menjadi sebuah negara berteknologi tinggi dan mempunyai ekonomi yang kuat. Ini tidak mungkin terjadi jikalau perkerja yang memahir dalam bidang teknologi dan ekonomi sering kali berpindah dan menetap di negara luar.

Ketiga, kreativiti dan innovasi untuk membawa sebuah negara ke peringkat kemajuan seterusnya dalam mana-mana bidang, biasanya datang dari golongan yang berkebolehan dan terlatih. Tetapi ini hanya akan memberi manfaat kepada negara jikalau golongan tersebut menetap dan berkerja di dalam negara. Untuk ini, kita hanya perlu melihat kerjaya Dato Michelle Yeoh dan Yuna. Kedua-dua seniwati ini merupakan kebanggaan Malaysia. Namun kita harus ingat persembahan dan karya terhebat mereka tidak dilahirkan di Malaysia, dan bidang seni Malaysia tidak berhak mendapat kepujian atas kejayaan mereka. Lebih-lebih lagi apabila tahap pencapaian mereka sudah di peringkat antarabangsa manakala industri seni dan hiburan negara masih lagi ketinggalan jauh di belakang.

Pada 13 Jun, 2017 syarikat penyampai berita ‘The Star’ telah menerbitkan sebuah video di laman YouTube mereka yang dipanggil ‘The Spotlight: The Malaysian Diaspora’ membincangkan tentang perkara ini. Di dalam video ini, mereka berbual bersama Datuk Seri Ivan Teh, pengasas Fusionex sebuah syarikat global dan Datuk Seri Cheah Cheng Hye pengerusi dan CIO kepada Value Partner Group sebuah syarikat pengurusan aset di Hong Kong tentang topik diaspora Malaysia dan sebab semakin ramai orang Malaysia berpindah dan menetap di luar negara.

Menurut Datuk Seri Ivan Teh, pekerja di negara seperti Singapura, United Kingdom, US dan Australia yang mempunyai ramai bilangan diaspora Malaysia, menjaga dengan lebih baik hal ehwal perkerja dan hak perkerja. Mereka juga lebih terjamin untuk mendapat promosi, kenaikkan gaji dan gaji yang lebih sepadan dengan kepakaran mereka berbanding dengan perkerja yang menetap di Malaysia.

Ini diterangkan oleh beliau dengan mengubahsuai pepatah “the grass is always greener on the other side of the fence”. Beliau berkata, rumput yang disiram, dibaja dan dijaga dengan baik akan sentiasa menjadi rumput yang paling hijau tanpa menghirau di belah mana pagar tersebut.

Manakala Datuk Seri Cheah Cheng Hye pula berkata semasa beliau mula-mula berpindah ke Hong Kong, beliau tidak reti bercakap bahasa Cantonese ataupun membaca perkataan Cina. Beliau mempunyai lebih insentif untuk menetap di Malaysia daripada berpindah ke Hong Kong.

Tetapi kerana peluang perkerjaan yang sedikit untuk tahap kepakaran beliau, dia tetap membuat keputusan untuk berpindah. “Peluang adalah kata kunci kenapa ramai orang berpindah ke negara luar,” katanya lagi. Bukan saja dari segi pekerjaan tetapi lebih banyak peluang untuk memulakan perniagaan, pendidikan dan kehidupan yang mereka impikan.

Apa yang lebih merisaukan untuk pembangunan dan kemajuan ekonomi negara, pekerja syarikat Fusionex dan Value Partner Groups ini kebanyakkannya datang dari Malaysia. Di dalam video yang dikatakan tadi, kedua-dua tetamu tersebut menyatakan bahawa Malaysia mempunyai sumber perkerja yang berkualiti tinggi dan antara yang terbaik di dunia. Dan kalau kerajaan tidak boleh mencari jalan untuk memberi peluang kepada generasi muda untuk membina sebuah kerjaya Berjaya dan lumayan, maka semakin hari lebih ramai golongan muda dari sumber perkerja ini akan berpindah untuk menyerlahkan kepakaran mereka di negara lain.

Lebih-lebih lagi generasi muda Malaysia sekarang adalah generasi yang lebih berani mencuba dan tidak takut untuk mengembara untuk mengejar impian mereka. Terdapat banyak perniagaan yang berkaliber tinggi telah dimulakan di negara luar oleh orang Malaysia sendiri. Contohnya seperti Fusionex yang mempunyai kepakaran dalam bidang analisis dan data besar yang ditubuhkan oleh Datuk Seri Ivan Teh sendiri di London. Analisis dan data besar ialah bidang yang penting di dunia alaf baru ini. Jika beliau telah menubuhkan syarikatnya di Malaysia, mungkin rakyat, jaringan perniagaan dan juga kerajaan Malaysia boleh mendapat faedah daripada perkhidmatan yang disediakan oleh Fusionex. Datuk Seri Ivan Teh dan Datuk Seri Cheah Cheng Hye adalah hanya dua contoh daripada beratus ribu cerita dalam kisah ini.

Untuk mengelak lebih banyak lagi perkara sebegini berlaku, Malaysia harus mencari jalan untuk berubah, bukan saja untuk menjadi lebih menarik supaya generasi muda mahu terus tetap di sini, tetapi juga budaya ‘toksik’ yang menghantui negara kita yang membuat mereka mahu berpindah. Kebanyakkan orang melihat ini sebagai masalah perkauman, tetapi semakin ramai orang muda Melayu juga sudah dan ingin berpindah untuk mencari peluang kehidupan di negara lain.

Lebih-lebih lagi apabila mereka melihat seorang pemuda berumur 25 tahun yang berketurunan Malaysia boleh dilantik menjadi seorang ‘Datuk bandar’ beribu kilometer dari tanah air. Kita harus membina sebuah masa depan yang sentiasa berkembang lebih baik dan bukan masa depan yang statik, yang gelap dan malap supaya rumput kita sentiasa hijau.

Foto: Twitter Jocelyn_Yow

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

LANGGANI BULETIN KAMI

IKUTI KAMI

Berita Terkini

Melaka elections – a repetition of the Sabah 2020 elections?

The Melaka State Assembly was dissolved on October 4th,...

Bring Back The “Human” In All Of Us

WE live life doing repetitive tasks, habitual actions and...

Suatu erti merdeka

“Merdeka! Merdeka! Merdeka!” Menyahut seruan merdeka kali ini terasa amat...

Pakatan Harapan Harus Mulakan Rundingan Kerusi Untuk PRU15

Beberapa bulan sebelum PRU14, keempat-empat parti dalam gabungan Pakatan...

berita berkaitanuntuk anda
di bawah