Kurangkan Meragui Vaksin Demi Selamatkan Negara

-

BARU ini, saya sempat berbual dengan beberapa rakan baik saya, dan seperti biasa kita akan berbincang isu-isu politik. Kali ini kami berbincang tanggapan terhadap Khairy Jamaluddin. Saya menyatakan pendapat bahawa setakat ini, dia menangani persediaan program vaksinasi dan komunikasi awam dengan baik. Saya juga katakan bahawa saya tiada masalah mengundi dia dalam pilihanraya.

Rakan-rakan saya menjadi marah, kerana untuk mereka Khairy Jamaluddin tidak boleh dipercayai. Mereka menegaskan bahawa pelancaran program vaksin tidak dijalankan dengan elok: mengapa penjelasan program vaksinasi hanya diberi sekarang, padahal kerajaan sudah tahu sejak beberapa bulan lalu tarikh sampainya bekalan vaksin? Walaupun kayu ukur kita terhadap prestasi menteri telah jatuh mendadak ketika pemerintahan Perikatan Nasional yang tidak kompeten ini, itu tidak bermakna kita perlu memuji Menteri Sains hanya kerana prestasinya lebih baik daripada menteri yang lain.

Saya cuba membalas bahawa kita perlu membezakan antara keadaan yang ideal dan keadaan sebenar; kebanyakan masa kita perlu membuat keputusan antara pilihan-pilihan yang mana tiada satu yang memuaskan. Rakan saya kemudiannya cukup marah dan mengata bahawa saya terlalu mencari alasan untuk ahli politik sebegini, dan ini sikap fatalistik yang telah menjahanamkan Malaysia. Untuk dia, saya pak turut kepada Khairy. Saya beritahunya, saya geram dengar katanya yang kesat itu. Suasana di kalangan kami menjadi genting.

Sebenarnya, saya banyak setuju dengan apa yang rakan-rakan saya kata, tetapi sebaliknya saya merasakan bahawa mereka mungkin tidak memahami apa yang saya cuba sampaikan, dan itu membuat saya berasa sakit hati, terutamanya dengan gelaran “pak turut” itu.

Tetapi apa-apa pun, mereka masih rakan baik. Ternyata perbualan ini telah merosakkan suasana bersama, jadi kami beralih ke perkara lain dan berkongsi khabar peribadi dan gosip.

* * *

Sebelum ini, saya menceritakan bagaimana perselisihan boleh berlaku dalam perbualan antara rakan-rakan baik, iaitu orang yang kita dah kenal selama bertahun-tahun dan yang serasi dengan kita. Bayangkan jika anda bertemu komen seperti di bawah, bagaimana anda akan berdebat dengannya?

Satu ciri utama tentang media sosial adalah ia membolehkan orang-orang yang tidak saling mengenali untuk membincangkan isu-isu yang sensitif, seperti politik, bahkan bertelingkah sesama sendiri tentang isu-isu ini. Di tingkat peribadi, penggunaan media sosial sering membuat kita sebagai pengguna berasa sakit hati, cemas, terasing, dihina, dan seringkali juga marah.

Memandangkan begitu, mungkin lebih baik kita jauhi diri sendiri daripada media sosial, betul? Lebih baik tutup sahaja smartphone itu. Elakkan bersemuka dengan troll, orang yang buat pandai, orang yang mainkan emosi kita, dan sebagainya. Elok jimatkan tenaga emosi untuk usaha yang lebih produktif dalam hidup.

Namun, sentimen ini tidak wajar apabila kita berdepan dengan cabaran vaksinasi untuk seluruh negara dalam keadaan kecemasan yang belum pernah negara kita hadapi.

Cabarannya begini: para saintis telah meyakinkan kerajaan-kerajaan di dunia bahawa ada keperluan untuk memvaksinasikan 75-80% penduduk negara supaya imuniti kelompok (herd immunity) dapat dicapai. Selagi imuniti kelompok tidak dicapai, negara kita tidak akan dapat menjalankan kehidupan sosial dan ekonomi tanpa gangguan. Sekiranya peratusan penduduk negara yang divaksinasi tidak mencukupi, kesannya seolah-olah tiada satu orang pun yang telah divaksinasi.

Ini kerana COVID-19 akan terus menular dalam masyarakat, dan ini meningkatkan keberangkalian virus untuk bermutasi menjadi varian sehingga ia dapat mengatasi vaksin yang sedia ada. Ini bererti PKP akan berlaku lagi, SOP perlu dipanjangkan, keruntuhan ekonomi dipercepatkan. Kesemua ini akan mendorong orang yang hidupnya tertekan tanpa penghujung lain untuk melakukan jenayah semata-mata untuk terus hidup dan menjaga orang yang terdekat, bahkan rusuhan juga mungkin terjadi. Kita juga telah hilang keyakinan terhadap kerajaan yang tidak wujud ini untuk mengawal situasi ini.

Berpandukan sebab-sebab itu, kita tidak boleh memberi ruang kepada segolongan tertentu penduduk Malaysia untuk sewenang-wenangnya menolak vaksin. Sudah cukup mereka yang berumur 18 tahun ke bawah dan yang kekurangan imun akan dikecualikan daripada program vaksinasi kerana faktor keselamatan dan keutamaan. Saya tidak tahu apakah margin peratusan penduduk tolak vaksin yang boleh kita tanggung, tetapi ternyata jelas ia hanya beberapa peratus sahaja, jika kita hendak mencapai 80 peratus penduduk yang divaksinasi.

Malangnya, tinjauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan bahawa satu pertiga rakyat Malaysia masih takut atau ragu terhadap vaksin COVID-19!

Golongan anti-vaxx dan yang meragui vaksin ini kebanyakannya melepak di Facebook. Lihat komen-komen di laman Facebook yang memaparkan pengumuman KKM, laporan berita (Berita Harian, Malay Mail, dsb.), dan video yang memberi maklumat salah seperti daripada Roland Victor baru ini. Anda akan dikerumuni komen oleh orang yang betul yakin bahawa pendirian mereka yang meragui vaksin secara amnya atau vaksin COVID-19 secara khususnya adalah sesuatu yang tidak boleh dipertikaikan. Mereka berkeras dalam menolak vaksin. Ada yang sebarkan paranoia yang berlebihan tentang kesan sampingan yang disebabkan vaksin. Ada yang merujuk kepada kerajaan kita yang tidak cekap yang telah menggagalkan semua pelaksanaan dasar yang dirancang (seperti dalam pengendalian pembukaan sekolah atau isu pekerja asing) sebagai bukti bahawa kerajaan akan gagal juga dalam pelaksanaan program vaksinasi nanti. Yang menakutkan, menurut pemain komidi terkenal Dr Jason Leong, sebilangan kakitangan KKM juga termasuk dalam golongan ini!

Ini keadaan yang sangat genting.

Melainkan kita (termasuk pembaca yang budiman) dapat bekerjasama untuk mengurangkan jumlah orang yang kini merancang untuk menolak vaksin, supaya daripada berjuta orang ia berkurang kepada beberapa ratus ribu orang sahaja.

* * *

Saya menyeru agar pembaca yang terhormat, jika anda mempunyai masa terluang, untuk melihat laman-laman Facebook yang mengisi komen-komen yang sebarkan keraguan terhadap vaksinasi, dan membalas komen-komen tersebut dengan prihatin dan ikhlas, dan cuba mendorong orang ramai untuk mengambil vaksin apabila giliran mereka tiba.

Anggaplah ini sebagai khidmat kepada negara.

Syahredzan Johan (setiausaha politik kepada Lim Kit Siang) mencadangkan bahawa terdapat dua jenis orang yang menolak vaksin:

  1. golongan yang sangsi dengan vaksin COVID-19 secara khususnya (dan mungkin boleh dipujuk)
  2. memang anti-vaxx.

Golongan anti-vaxx ini, seakan membuang masa sahaja kalau ingin cuba memujuk mereka. Sebilangan besar daripada mereka telah membentuk kamar digital dan ruang gelembung yang tidak dapat ditembusi; satu sebab adalah mereka berkumpul di laman Facebook yang tertutup kepada orang awam dan kumpulan bualan WhatsApp, dan satu sebab lagi kerana mereka percaya kepada teori konspirasi yang bersifat seperti ajaran sesat. Teori konspirasi (umpamanya tentang Freemason atau New World Order) ini seperti blackhole; pendapat yang dia menerima dia akan memeluk serapat mungkin, pendapat yang bercanggah dia akan sentiasa ada alasan untuk memantulkan.

Hanya satu golongan sahaja orang berfikiran anti-vaxx yang anda mungkin dapat pujuk: ahli keluarga dan kawan rapat. Ini kerana mereka mengenali anda, dan keakraban itu adalah satu kelebihan penting yang tidak dimiliki oleh orang lain, walaupun orang lain mungkin mempunyai kepakaran dan pengalaman yang cukup besar berbanding dengan anda.

Meyakinkan golongan pertama, iaitu yang meragui vaksin Covid-19, lebih mudah.

Ada yang mempunyai soalan.

Ada yang mempunyai fikiran logik yang aneh, mungkin disebabkan mereka kekurangan maklumat tentang vaksin dan program vaksinasi.

Ada yang memang “troll”. Kalau jumpa komen daripada troll, abaikan sahaja. Laporkan komen atau profil mereka kepada Facebook jika perlu.

Bagaimana kita dapat memberi jawapan? Izinkan saya kongsi satu contoh jawapan.

Gunakan sikap yang lebih lembut. Kekalkan nada yang neutral. Tegaskan fakta dalam keterangan anda. Bersangka baik. Jangan bersikap sinis. Sisihkan ego anda – kita semua ada ego, bukan sesuatu yang perlu dimalukan, kita hanya perlu menjaga supaya ego tidak mewarnai komen anda. Maksudnya, jangan menyindir, jangan timbulkan rasa kebencian mereka, dan jangan mengumpan mereka untuk menyerang anda.

Saya sangat sarankan artikel Guardian ini: ‘How to have better arguments online’. Artikel ini memberi kesedaran tentang apa yang memberi motivasi kepada kita, dan bagaimana mengelakkan diri daripada menimbulkan kemarahan pihak lain, supaya kita dapat mencapai objektif terpenting, iaitu memujuk orang untuk menerima vaksin.

* * *

Ingat bahawa tujuan kita di sini adalah untuk meyakinkan orang yang meragui vaksin, untuk mencapai tujuan utama, iaitu imuniti kelompok. Sangat penting kita tidak melepaskan ego atau emosi kita mengeruhkan keadaan.

Satu kelebihan balasan bertulis berbanding denghan hujah lisan ialah kita dapat menyemak semula komen sebelum diklik butang ‘Hantar’, dan pastikan kita tidak menaruh emosi atau ego ketika berkomen.

Sekiranya kita semua dapat bekerjasama untuk berkongsi maklumat yang betul dan meyakinkan tentang vaksin COVID-19, dan berjaya mengubah fikiran beberapa orang yang pada mulanya sangsi terhadap vaksin, maka kita dapat mencapai imuniti kelompok secepat mungkin, dan kita akan lebih cepat menjalani kehidupan tanpa ancaman PKP, tidak lagi diganggu oleh SOP yang menyusahkan, dan tidak lagi diasingkan daripada orang yang disayangi. Sekurang-kurangnya, fikirkan pergorbanan besar yang telah diberi oleh barisan hadapan kita selama setahun ini.

Sila bantu jika boleh.

* * *

Sekiranya anda perlu lebih banyak maklumat dan meningkatkan kesedaran anda supaya dapat menangani keraguan terhadap vaksin dengan lebih meyakinkan, berikut adalah cadangan beberapa sumber:

Laporan bahawa vaksin sebenarnya berfungsi baik di seluruh dunia: https://www.bloomberg.com/news/newsletters/2021-02-23/this-just-in-vaccines-work

Keterangan seorang doktor yang telah memberikan suntikan vaksin sejak 3 bulan yang lalu: https://www.aljazeera.com/features/2021/2/21/what-are-the-side-effects-of-the-covid-19-vaccines

Penjelasan kenapa kanak-kanak tidak diberi vaksin buat masa sekarang, dan langkah keselamatan untuk melindungi mereka: https://www.vox.com/22225218/kids-covid-vaccine-safe-moderna-pfizer-school-reopening

Maklumat khususnya tentang program vaksinasi di Malaysia (JKJAV): https://www.vaksincovid.gov.my/

Kuliah tentang fungsi dan sejarah vaksin yang jelas dan mudah diikuti: [youtube link, Vaccination with Chris Whitty]

Photo: Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

LANGGANI BULETIN KAMI

IKUTI KAMI

Berita Terkini

Melaka elections – a repetition of the Sabah 2020 elections?

The Melaka State Assembly was dissolved on October 4th,...

Bring Back The “Human” In All Of Us

WE live life doing repetitive tasks, habitual actions and...

Suatu erti merdeka

“Merdeka! Merdeka! Merdeka!” Menyahut seruan merdeka kali ini terasa amat...

Pakatan Harapan Harus Mulakan Rundingan Kerusi Untuk PRU15

Beberapa bulan sebelum PRU14, keempat-empat parti dalam gabungan Pakatan...

berita berkaitanuntuk anda
di bawah