Berkhidmat Membantu Komuniti Johor Terkesan Banjir

-

Masalah bencana banjir sering melanda di negara Malaysia antaranya di kawasan pantai timur seperti di Terengganu, Kelantan dan Pahang. Tidak juga ketinggalan di bahagian selatan Malaysia, iaitu Johor yang terjejas teruk dek kerana banjir yang berlaku setiap tahun.

Faktor-faktor berlakunya banjir ini juga kerana musim hujan yang berpanjangan menyebabkan sungai-sungai tidak dapat menampung air hujan dalam jumlah yang banyak dan melimpah ke beberapa kawasan yang rendah daripada paras laut atau sungai. Musim angin monsun dan air pasang yang besar juga mendorong kepada kenaikan paras air laut.

Berikutan masalah banjir yang teruk ini, ramai penduduk yang terjejas terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Lebih menyayat hati apabila mendapati banyak harta benda mereka seperti kenderaan dan perabot yang telah musnah dan mereka terpaksa mengeluarkan kos perbelanjaan yang tinggi untuk mengganti semula kelengkapan rumah mereka.

Hal ini lebih merumitkan lagi apabila proses pembersihan memakan masa yang lama untuk dibersihkan ekoran sisa-sisa lumpur yang ditinggalkan sesudah air banjir surut. Tambahan pula, kebanyakan rumah di sana didiami oleh warga emas dan ibu tunggal yang kurang berkemampuan daripada segi tenaga untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.

Demi meringankan beban yang dihadapi oleh mereka, satu inisiatif, iaitu ‘Misi Bantuan Johor’ yang disertai MUDA dari Wilayah dan Selangor untuk menyokong kerja-kerja sukarelawan komuniti tempatan dan MUDA Johor telah bersama-sama turun padang ke kawasan Kota Tinggi, Johor untuk membantu mangsa banjir yang terjejas.

Seramai 15 orang daripada sukarelawan MUDA di kawasan Lembah Klang telah bergegas ke Johor pada Jumaat lalu dengan membawa segala peralatan pembersihan untuk digunakan di sana. Aktiviti pembersihan dilakukan di sekitar Kampung Kelantan dan setiap sukarelawan dibahagikan kepada tiga kumpulan bagi memudahkan proses pembersihan rumah berjalan dengan lancar.

Dalam pada itu, MUDA juga telah melancarkan satu tabung dana khas untuk mangsa banjir di Johor dengan sasaran peruntukan sebanyak RM20,000 untuk pembelian peralatan pembersihan dan sebagainya. Peruntukan ini telah memanfaatkan beberapa keluarga yang terjejas akibat bencana banjir.

Banjir Sebagai ‘Acara Tahunan’

Setiap tahun bencana banjir akan berlaku di negara Malaysia sehinggakan penduduk di sana lali dan mengatakan bahawa banjir ini seperti ‘acara tahunan’ untuk mereka hadapi sejak bertahun-tahun lagi. Mereka juga seakan-akan tidak hairan malah lebih bersedia untuk menghadapi masalah banjir.

Menurut salah seorang penduduk di Kampung Kelantan, bencana banjir pada tahun ini agak berbeza sedikit kerana berlaku pada bulan Januari dan bukanlah pada bulan Disember yang sering terjadi pada tahun-tahun yang lalu.

“Tahun ini agak berbeza sikit kerana banjir berlaku pada bulan Januari dan kami juga tidak sempat untuk bersedia menyelamatkan barang-barang seperti perabot dan kenderaan.”

Disebabkan ketidakjangkaan penduduk dalam menghadapi bencana banjir ini, segelintir daripada mereka tidak bersedia untuk menyelamatkan harta benda mereka ke pusat pemindahan akibat air banjir yang naik terlalu cepat. Lebih-lebih lagi perkara tersebut berlaku pada waktu pagi kira-kira 4am, semasa mangsa-mangsa banjir sedang tidur.

“Saya mendapat panggilan daripada anak saya pada pukul 4:00am dan dia meminta saya untuk memeriksa sekiranya rumah saya telah dinaiki air atau tidak tetapi malang tidak berbau apabila saya membuka sahaja pintu bilik, air telah naik dengan cepat dan saya tidak boleh melakukan apa-apa dan hanya menyelamatkan dokumen-dokumen yang penting sahaja dan bergegas ke Pusat Pemindahan Sementara.”

Lebih memeritkan apabila kebanyakan daripada mereka bekerja sebagai peneroka kelapa sawit dan hilang punca pendapatan semasa berlakunya banjir. Setiap tahun, penduduk-penduduk di sana hanya mampu mengharapkan bantuan daripada pihak kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam untuk menampung serba sedikit kelangsungan hidup mereka semasa tempoh banjir. Keadaan menjadi lebih teruk apabila negara Malaysia kini sedang menghadapi cabaran pandemik COVID-19 yang merupakan juga salah satu penyebab kepada masalah kekurangan pendapatan bulanan penduduk di sana. 

Kerajaan Tidak Mampu Atau Lepas Tangan?

Peranan kerajaan penting dalam menjamin keselesaan penduduk di kawasan yang terjejas oleh banjir yang teruk. Kerajaan sepatutnya lebih proaktif dalam menangani masalah ini dan memastikan bahawa sekurang-kurangnya masalah ini berkurang pada tahap yang minimum setiap tahun. Pelbagai cara yang kerajaan boleh lakukan tetapi mengapa perkara ini seakan-akan ditutup mata oleh pihak kerajaan?

Sumbangan dan bantuan sahaja bukan cara penyelesaian yang terbaik untuk menjamin kesejahteraan penduduk di sana tetapi mereka amat memerlukan penyelesaian jangka panjang terhadap isu banjir ini seperti sistem saliran air yang berkesan, penanaman semula pokok-pokok yang ditebang dan menghentikan pembalakan yang berleluasa di kawasan hutan simpan di negeri mereka.

Kerajaan juga seharusnya mengurangkan projek pembangunan sebaliknya menggunapakai semula bangunan-banguna yang terbengkalai dan ditinggal lama oleh pemaju yang tidak bertanggungjawab. Perkara ini juga dapat mengurangkan masalah pembaziran tanah justeru dapat mengurangkan sedikit masalah banjir pada kadar yang minimum.

Selain itu, mereka terjejas juga mengatakan bahawa bantuan dan sumbangan hanyalah sekadar jangka pendek sahaja dan tidak menampung keseluruhan kerugian harta benda mereka yang rosak akibat ditenggelami air banjir. Perkara ini juga membingungkan penduduk di sana apabila terpaksa menggunakan wang kecemasan untuk membaiki semula segala kerosakan yang dihadapi di sana. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa tabungan penduduk di sana pada tahap yang kritikal dan sukar.

Hasil pemerhatian dan inisiatif yang dilakukan selama tiga hari di Kota Tinggi, MUDA meletakkan jangkaan yang sangat tinggi kepada kerajaan untuk mengambil sepenuh perhatian dalam menangani masalah banjir ini dan sentiasa memastikan masalah ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang.

Sekiranya isu banjir ini dapat ditangani dengan baik, kerajaan dapat memperolehi banyak manfaat seperti peningkatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pendapatan pekerja kerana kebanyakan kawasan yang terjejas penting kepada sektor-sektor pertanian dan perikanan.

Sampai bila lagi masalah ini tidak diselesaikan? Adakah kerajaan cuba mengabaikan masalah-masalah ini? Beringatlah bahawa rakyat yang berkuasa memilih kerajaan yang berkhidmat untuk mereka dan sebagai kerajaan seharusnya menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya bukan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

                                                                                                                             

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

LANGGANI BULETIN KAMI

IKUTI KAMI

Berita Terkini

Melaka elections – a repetition of the Sabah 2020 elections?

The Melaka State Assembly was dissolved on October 4th,...

Bring Back The “Human” In All Of Us

WE live life doing repetitive tasks, habitual actions and...

Suatu erti merdeka

“Merdeka! Merdeka! Merdeka!” Menyahut seruan merdeka kali ini terasa amat...

Pakatan Harapan Harus Mulakan Rundingan Kerusi Untuk PRU15

Beberapa bulan sebelum PRU14, keempat-empat parti dalam gabungan Pakatan...

berita berkaitanuntuk anda
di bawah