Keadaan dan Prospek Ekonomi Malaysia Mendung

-

‘NAK Hotel’ merupakan salah satu hotel yang pertama beroperasi di Sandakan, Sabah di mana sektor pelancongan merupakan industri utama. Namun pada 14 Jun tahun ini, hotel tersebut telah menamatkan perkhidmatan mereka selepas 54 tahun beroperasi. Penularan wabak Covid-19 telah melumpuhkan sektor pelancongan secara menyeluruh sehingga sebuah hotel berprestij dan dikunjungi ramai seperti ‘The NAK Hotel’ harus ‘menggulung tikar’ bersama dengan banyak lagi hotel lain bukan saja di Sandakan malah di seluruh negara. Lebih menyedihkan lagi ialah nasib 20 orang pekerja hotel tersebut telah kehilangan pekerjaan mereka. Tetapi kes mereka bukan terpencil kerana beratus ribu pekerja di Malaysia juga mengalami kisah yang sama.

Menurut Department of Statistics Malaysia atau Jabatan Perangkaan Malaysia, bulan kemuncak krisis pengangguran Malaysia ialah pada Ogos 2020 yang mencatatkan seramai 741,600 orang penganggur. Walaupun ini hanyalah 5.2% daripada jumlah penuh tenaga pekerja di Malaysia, menurut Organisation for Economic Cooperation and Development(OCED) krisis pengangguran ialah apabila sebuah negara mempunyai kadar pengangguran 4% ke atas. Kadar pengangguran bulan Ogos sudah jauh lebih teruk daripada krisis pengangguran Malaysia terakhir, iaitu pada bulan Ogos 2008 apabila krisis ekonomi global 2008 menaikkan kadar pengangguran di Malaysia sehingga 3.7%.

Terdapat dua faktor yang menyebabkan kadar pengangguran meningkat. Pertama ialah tenaga pekerja yang sedia ada kehilangan pekerjaan apabila syarikat atau industri mengalami kemerosotan atas sebab-sebab tertentu. Apabila ini berlaku, syarikat atau perniagaan terpaksa mengecilkan organisasi mereka untuk mengurangkan kos perbelanjaan ke tahap yang terkawal. Kedua, ialah apabila bilangan tenaga pekerja baru yang sudah menamatkan pendidikan mereka adalah lebih banyak daripada peluang pekerjaan yang terbuka. Betapa gigih mereka semua cuba untuk mendapatkan pekerjaan, oleh kerana peluang pekerjaan yang tidak cukup ada yang pasti tercicir.

Krisis pengangguran Tidak Bermula dengan Covid-19

Sebalik kepercayaan ramai, krisis pengangguran Malaysia sudah bermula lama sebelum kemunculan Covid-19. Kita dapat menjejaki permulaannya pada tahun 2014 apabila penemuan simpanan minyak yang banyak oleh Brazil dan Amerika Syarikat menyebabkan harga minyak turun dengan mendadak selama 2 tahun menyebabkan PETRONAS yang mengawal komoditi utama negara kita ini harus memotong kos sebanyak RM50 billion. Ini menyebabkan lebih kurang 50,000 pekerja kehilangan pekerjaan bukan saja daripada PETRONAS malah juga dari syarikat-syarikat lain yang berkaitan dengan industri Oil & Gas di Malaysia.

Krisis ekonomi berskala kecil yang berlaku pada tahun 2015 pula menyebabkan lagi 20,000 pekerja kehilangan pekerjaan daripada beberapa syarikat berlainan seperti Malaysia Airlines, RHB Bank, CIMB Bank, Shell dan lain-lain lagi. Menurut Jabatan Tenaga Kerja hampir 40,000 pekerja telah hilang pekerjaan mereka pada tahun 2016 pula. Ini disebabkan oleh pertukaran struktur yang dilalui oleh kebanyakkan syarikat besar di Malaysia untuk menangani kegawatan ekonomi kecil yang berlaku pada tahun sebelumnya.

Ini adalah fenomena yang biasa di dalam kajian ekonomi yang dipanggil sebagai the domino effect. Pengecilan di satu sektor boleh menyebar dan beri kesan terhadap sektor-sektor lain kerana semua sektor di sebuah negara bergantung antara satu sama lain. Rangkaian pengecilan sektor yang bermula di sektor Oil & Gas pada tahun 2014 berkekalan sehingga tahun 2017 dengan kehilangan pekerjaan sebanyak 23,000 pekerjaan, 23,000 pekerjaan lagi pada 2018 dan 29,605 pekerjaan kehilangan lagi pada 2019.

Jumlah pekerjaan yang hilang sejak 2015 mungkin mengejutkan mereka yang baru saja mengetahui tentang perkara ini, tetapi tidak kepada peneliti politik kerana kerajaan Barisan Nasional pada waktu itu dengan berjaya mengurangkan pendedahan kepada keadaan ini dengan anjuran mereka bahawa ekonomi negara adalah dalam keadaan terbaik, sebagai langkah untuk memenangi undi rakyat yang tidak diberi gambaran lengkap.

Bersamaan dengan krisis ekonomi dan pengangguran ini, kerajaan BN juga meninggalkan ‘lubang hitam’ yang besar dengan kegagalan pengurusan 1MDB, Tabung Haji dan FELDA yang kerajaan Pakatan Harapan telah perlu menangani terlebih dahulu dengan secara tidak langsungnya mengalihkan sumber kewangan yang sangat diperlukan untuk membaiki ekonomi dan membuka peluang pekerjaan baru kepada kerja menutup ‘lubang hitam’ tersebut. Apa-apa rancangan lain yang mereka mungkin ada untuk memperbetulkan keadaan ekonomi negara akan selamanya terkubur selepas kejatuhan kerajaan PH pada Febuari tahun ini.

COVID-19 Melengkapi Azab Tuhan

Kemunculan COVID-19 tahun ini adalah tanpa sebarang amaran atau belas kasihan. Sedangkan keadaan ekonomi negara masih lagi berada dalam keadaan yang parah, kita tidak langsung mempunyai peluang untuk melawan kesan COVID-19 terhadap ekonomi. Proses membaik pulih ekonomi menjadi semakin susah dan peluang pekerjaan yang semakin kurang tidak mampu memenuhi permintaan komuniti kritikal dalam masyarakat yang telah kehilangan pekerjaan sebelum ini dan juga kedatangan tenaga pekerja yang baru tamat pengajian mereka.

Kegawatan ekonomi kali ini tercetus apabila Movement Control Order (MCO) telah diisytiharkan oleh kerajaan Perikatan Nasional pada bulan Mac untuk mengurangkan penyebaran COVID-19 telah memaksa hampir semua perniagaan untuk menghentikan operasi mereka. Selepas arahan MCO telah diringankan sedikit 5 bulan kemudian, kebanyakkan perniagaan di semua sektor menghadapi kesusahan untuk mulakan semula perniagaan mereka setelah 5 bulan tanpa pendapatan yang stabil dan membuat keputusan sukar untuk menutup perniagaan mereka selamanya.

Disebabkan orang ramai kini mendapat pendapatan yang kurang atau tidak ada pendapatan langsung, maka kuasa membeli barangan daripada perniagaan lain menyebabkan pendapatan perniagaan yang masih lagi beroperasi semakin kurang dan tidak lagi mampu menanggung kos ‘overhead’ yang tetap harus dibayar tidak kira pendapatan. Pengurangan kos yang mereka harus pula lakukan untuk meneruskan perniagaan mereka ialah dengan mengurangkan bilangan pekerja yang sedia ada, dengan demikian meningkatkan lagi kadar pengangguran negara. Mereka yang masih lagi mampu membeli pun jarang keluar membeli dan lebih rela membeli online kerana khuatir akan keselamatan mereka dengan kes COVID-19 semakin banyak.

Kesan Kadar Pengangguran Tinggi

Kesan buruk yang datang dengan kadar pengangguran yang tinggi boleh membawa masalah daripada segi ekonomi dan sosiologi. Daripada segi ekonomi, kadar pengangguran yang tinggi akan menyebabkan masalah seperti taraf kehidupan yang lebih rendah. Pendapatan yang berkurangan di kalangan rakyat Malaysia akan menurunkan pembelian dan penggunaan yang lebih rendah dan perniagaan tidak boleh berkembang. Kerajaan pula yang bergantung kepada cukai pendapatan pekerja dan perniagaan bukan saja kehilangan sumber kewangan, malah harus mengeluarkan lebih banyak duit, untuk memberi bantuan kepada mereka yang tidak mempunyai pendapatan.

Dalam jangka masa yang panjang, peningkatan gaji pekerja yang ada pun akan berkurangan memandangkan pekerja yang sudah bekerja tidak mahu kehilangan pekerjaan mereka kerana khuatir diganti dengan senang memandangkan ramai sanggup bekerja untuk pendapatan yang lebih sedikit. Dan pekerja yang sudah tidak lama bekerja akan kehilangan kemahiran kerja mereka yang akan menyebabkan pasaran pekerja pakar berkurangan.

Kita juga boleh lihat kesan buruk pangangguran daripada segi sosiologi seperti perpecahan keluarga. Antara punca utama penceraian adalah keadaan kewangan yang tidak stabil yang disebabkan oleh kehilangan pekerjaan. Kadar jenayah negara juga akan turut meningkat apabila pendapatan yang sah tidak boleh diperolehi, dalam keadaan terdesak ramai orang sanggup melakukan apa sahaja untuk meneruskan kehidupan. Kita juga akan lihat kenaikan kadar pesakit mental dan fizikal yang tidak mampu menerima rawatan, bunuh diri dan kenaikkan ketaksamaan kekayaan mana yang kaya akan semakin kaya dan yang miskin akan semakin miskin.

Ramai berfikiran kegawatan ekonomi yang menyebabkan peningkatan kadar pengangguran ini disebabkan oleh COVID-19, tetapi kajian dan statistik telah membuktikan bahawa ia sudah bermula sejak 2014. Apa yang terjadi semasa pendamik ini hanyalah mencerahkan masalah yang sudah sedia ada. Keengganan kerajaan BN dan PH mengakui perkara ini sebagai satu masalah kritikal adalah antara sebab kenapa masalah ini masih berlanjutan. Lebih menakutkan lagi ialah kerajaan PN pula masih lagi belum mengorak langkah untuk memperbetulkan keadaan ini walaupun belanjawan 2021 sudah pun dilulus, dan hari ke hari kita hanya melihat mereka bermain politik sahaja.

Kita masih belum boleh lihat penghujung kesudahan wabak COVID-19 dan apa-apa lagi kesan ekonomi yang datang bersama dengannya. Kesemua langkah dan inisiatif yang sedang dijalankan sekarang hanyalah demi melambatkan kesan yang kita sudah tahu akan datang, dan bukan sekali menangani masalah ekonomi secara langsung. Hanya satu kepastian yang kita boleh lihat sekarang ialah keadaan ekonomi negara akan bertambah lebih buruk, sebelum ia berubah baik.

Foto: Malay Mail

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

LANGGANI BULETIN KAMI

IKUTI KAMI

Berita Terkini

Melaka elections – a repetition of the Sabah 2020 elections?

The Melaka State Assembly was dissolved on October 4th,...

Bring Back The “Human” In All Of Us

WE live life doing repetitive tasks, habitual actions and...

Suatu erti merdeka

“Merdeka! Merdeka! Merdeka!” Menyahut seruan merdeka kali ini terasa amat...

Pakatan Harapan Harus Mulakan Rundingan Kerusi Untuk PRU15

Beberapa bulan sebelum PRU14, keempat-empat parti dalam gabungan Pakatan...

berita berkaitanuntuk anda
di bawah