Asimetri Politik: Kenapa Ahli Politik yang Elok Kurang Kelebihannya Berbanding Ahli Politik Buruk (III)

-

Dalam bahagian sebelum ini, saya bicara bagaimana asimetri politik boleh memesongkan persepsi tentang ahli dan parti politik: pembohongan akan menjejaskan ahli politik yang dituduh lebih daripada yang menuding jari; penyokong PH akan menyerang PH kalau PH membuat silap, tetapi penyokong PN/BN/MN tidak akan menyerang parti mereka jika parti mereka membuat salah; dan parti yang mengguna pakai prinsip demokrasi menghadapi pilihanraya akan kalah dengan lebih mudah berbanding dengan parti yang tidak. Di sini, kita akan membincangkan satu lagi contoh asimetri, dan membuat kesimpulan. 

Menteri yang hadir bekerja lebih mudah dikecam berbanding menteri yang sembunyi

Senator Radzi Jidin mungkin suatu nama yang tidak dikenali di kalangan orang ramai, namun dia sepatutnya seseorang yang penting, kerana dia mewarisi jawatan yang sebelumnya dipegang Dr Maszlee Malik, dan antara kementerian yang banyak terjejas akibat wabak COVID-19 tidak lain tidak bukan adalah Kementerian Pendidikan.

Yang hairannya, pada awal pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN), Radzi Jidin jarang menampil muka sebagai Menteri Pendidikan, hanya satu dua kali sahaja dia muncul untuk membuat pengumuman. Sebaliknya, kebanyakan pengumuman yang melibatkan pengubahsuaian kepada sistem pendidikan negara dimaklumkan oleh Menteri Pertahanan, Ismail Sabri. Ini termasuk pengumuman tentang penutupan sekolah, asrama, dan universiti, dan sama ada pelajar asrama perlu terus menetap di asrama atau balik ke kampung.

Selain itu, hampir setiap kali Radzi Jidin membuat pengumuman, seringkali dia bertukar kembali kenyataan yang dia sendiri berikan sebelumnya, terutama tentang penutupan atau pembukaan sekolah. Pelajar akan menunggu arahan untuk balik ke sekolah, membeli tiket bas dan sewa bilik, tetapi sejurus sebelum hari pembukaan keluar pula arahan untuk membatalkan sesi pembukaan sekolah. Buka tutup, buka tutup. Keputusan seperti ini tidak wajar dilakukan sewenang-wenangnya, kerana untuk ibu bapa daripada golongan kurang berada ini akan menjejaskan kedudukan kewangan rumahtangga. Untuk ibu bapa pelajar sekolah rendah yang perlu membantu dan menguruskan anak mereka untuk menghadiri kelas atas talian, ini juga menyusahkan mereka dalam merancang bagaimana perlu membuat kerja atau jalankan perniagaan pada masa yang sama. Guru-guru juga menghadapi masalah menjalankan pengajaran yang baik tanpa bantuan oleh kerajaan dalam keadaan yang luar biasa sebegini.

Namun, jika anda membandingkan kecaman yang diterima oleh Radzi Jidin atas ketidakprihatinnya dalam menjalankan tugasnya dengan kecaman yang diterima oleh Dr Maszlee kerana isu-isu kasut hitam dan pengajaran khat, boleh dikatakan bahawa Dr Maszlee dikecam dengan lebih teruk.

Ada suara yang memanggil supaya Radzi Jidin letak jawatan? Ada sebilangan kecil, tetapi seruan itu ditenggelami seruan dan aduan kepada berpuluh-puluh menteri dan wakil rakyat PN yang menerima kritikan setiap hari. Oleh sebab itu, kemarahan yang ditujukan terhadap Radzi Jidin luntur dan mudah dilupakan. Malah, ramai rakyat Malaysia yang tidak mengenal namanya, walaupun ketidakhadiran dan ketidakcekapannya sebagai Menteri Pendidikan telah memudaratkan perkembangan anak dan golongan muda yang akan berlanjutan sampai bertahun-tahun lamanya.

Kes Edmund Santhara juga perlu disebut, yang telah lari ke New Zealand “untuk bersama anaknya” ketika orang Malaysia yang mematuh SOP menderita kerana dipisahkan daripada orang kesayangan untuk tempoh berpanjangan walaupun menetap di negara yang sama. Malah, ada yang tidak sempat menghadiri pengebumian ahli keluarga.

Ramai orang Malaysia yang marah terhadap Timbalan Menteri ini, tetapi berapa orang boleh menyebut apakah kementerian yang dipimpinnya? Dalam masa setahun ini, tidak pernah dengar nama atau apa-apa sumbangannya. Adakah orang berasa marah kerana ketidakhadirannya?

Kita boleh rumuskan daripada contoh-contoh ini bahawa kalau Menteri diam sahaja (dan berharap supaya tiada masalah negara timbul yang melibatkan kementeriannya), terlalu mudah untuk mereka terlepas daripada kecaman rakyat. Hanya satu contoh sahaja di kalangan menteri PN di mana timbalannya lebih kerap dikecam, iaitu Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Fayhsal, dan itu kerana Wan Fayhsal kerap bercakap dan selalu bercakap perkara yang salah, manakala Reezal Merican jarang membuka mulut.

Bandingkan dengan menteri-menteri PH. Tentu bukan semuanya aktif – contohnya, bolehkah anda menamakan timbalan kepada menteri popular, Yeo Bee Yin? Satu lagi contoh menteri yang diam-diam ubi (tetapi tidak berisi) adalah mantan Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun. Sekali sahaja saya membaca laporan tentangnya, dan itu juga hanya wawancara umum dalam surat khabar. Tetapi, secara lazimnya, jemaah menteri PH lebih aktif dan proaktif dalam menjalankan tugas mereka, merancang dasar, berinteraksi dengan orang awam di media sosial dan secara bersemuka, menganjurkan sidang akhbar, membuat kesilapan dan memperbaiki kesilapan itu, dan sebagainya.

Ini sifat manusia, kita kurang menyedari asimetri atau titik buta dalam pemikiran kita. Ahli politik yang hadir untuk membuat kerja membuka ruang untuk hasil kerja mereka dikritik, manakala ahli politik yang tunduk kepala diam sahaja tidak dikenal oleh orang ramai, maka tidak dikecam. Tentu ini tidak bermaksud ahli politik yang diam itu lebih baik daripada ahli politik yang ada kehadiran. Ini masalah persepsi yang kita perlu cermati dalam pemikiran kita.

* * *

Ini bukan semua asimetri politik yang wujud dalam persepsi rakyat Malaysia terhadap ahli politik dan hal ehwal politik, tetapi ini mencukupi untuk menggambarkan bagaimana titik buta ini mempengaruhi pemikiran dan persepsi kita.

Sekiranya kita boleh menjadikan tabiat kita supaya melihat cermin sisi kereta ketika kita hendak bertukar lorong semasa memandu, saya fikir kita juga boleh menjadikan tabiat supaya kita bertanya diri dulu, adakah terdapat titik buta dalam pemikiran kita, sebelum kita memberi reaksi kepada isu-isu politik.

Kita perlu menyesuaikan diri supaya berupaya sekali sekala mempersoalkan pemikiran kita. Keyakinan mutlak terhadap suatu pendirian yang dipegang adalah sesuatu yang berbahaya. Jangan terlalu cepat mengecam. Jika anda sedang menulis komen marah yang panjang di media sosial, atau membaca tajuk utama akhbar yang menyebabkan tekanan darah meningkat – tunggu seketika dahulu, jangan terus memberi reaksi, semak andaian yang anda pegang tentang isu itu, dan fikirkan, adakah terdapat sebab atau hujah lain yang dapat membalas pendapat yang anda pegang?

Kerana ia sangat penting bahawa kita tidak terjerat dalam perangkap asimetri.

Saya selalu mengatakan, penyokong PH sendiri yang membunuh kerajaan PH. Langkah Sheraton seperti pisau yang tikam PH daripada belakang, iaitu suatu peristiwa yang menamatkan nyawa kerajaan PH. Tetapi 22 bulan sebelum itu, kerajaan PH secara beransur-ansur dilemahkan oleh hasutan penyokong BN/MN dan juga aduan dan ketidakpuasan penyokong PH. Ini seperti luka dan partikel bebas dalam tubuh badan yang berkumpul secara perlahan dan menjadikan tubuh badan itu lemah, sampai ia tidak dapat bertindak balas dengan cepat dan berkesan apabila diserang, tidak dapat menyelesaikan masalah lama (seperti isu perkauman dan korupsi), dan berterusan sakit.

Jika Pakatan Harapan 2.0 menjadi kerajaan pada masa hadapan, dan ia kerajaan yang ikhlas untuk berkhidmat untuk rakyat dan tidak menyebelahi kleptokrat, rakyat Malaysia harus pertahankan kerajaan itu, kerana ia tentu akan lebih lemah daripada pihak pembangkang PN/MN atas sebab-sebab yang telah dibincangkan dalam artikel ini. Asimetri politik ini tidak dapat disingkirkan daripada hakikat politik. Yang baik adalah lebih lemah dan memerlukan perlindungan kita; yang buruk adalah lebih kuat khususnya kerana mereka tidak peduli.

Perlu dinyatakan bahawa ini sama sekali tidak bermaksud bahawa PH tidak seharusnya dikecam atau diserang, jika anda berpendapat bahawa mereka memang melakukan kesilapan atau membuat salah.

Tetapi, yang penting adalah anda menggunakan nada yang konstruktif dan seimbangkan kritikan anda.

* Ini merupakan bahagian ketiga dan terakhir daripada siri tiga artikel Asimetri Politik: Kenapa Ahli Politik yang Elok kurang Kelebihannya berbanding Ahli Politik Buruk

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

LANGGANI BULETIN KAMI

IKUTI KAMI

Berita Terkini

Melaka elections – a repetition of the Sabah 2020 elections?

The Melaka State Assembly was dissolved on October 4th,...

Bring Back The “Human” In All Of Us

WE live life doing repetitive tasks, habitual actions and...

Suatu erti merdeka

“Merdeka! Merdeka! Merdeka!” Menyahut seruan merdeka kali ini terasa amat...

Pakatan Harapan Harus Mulakan Rundingan Kerusi Untuk PRU15

Beberapa bulan sebelum PRU14, keempat-empat parti dalam gabungan Pakatan...

berita berkaitanuntuk anda
di bawah