Asimetri Politik: Kenapa Ahli Politik yang Elok kurang Kelebihannya berbanding Ahli Politik Buruk (I)

-

Man in Jail: The Black Pearl? Ive heard stories. Shes been preying on ships and settlements for near ten years. Never leaves any survivors.

Jack Sparrow: No survivors? Then where do the stories come from, I wonder?

Perbualan ini dipetik daripada filem Pirates of the Caribbean: The Curse of the Black Pearl, dan merupakan satu contoh konsep kebertahanan berat sebelah (survivorship bias) yang jarang ditampilkan dalam filem.

Konsep ini mula muncul dan disebarkan dalam sosial media beberapa tahun ini melalui suatu cerita tentang Perang Dunia Kedua. Mungkin anda pernah lihat gambar rajah ini:

Bagi mereka yang tidak mengetahui cerita ini, titik merah dalam gambar rajah ini menunjukkan tempat-tempat pesawat pengebom pihak Amerika Syarikat yang ditembak oleh peluru musuh. Pimpinan tentera udara A.S. ingin memperkukuhkan pesawat-pesawat pengebom mereka dengan penyaduran perisai (armour plating), tetapi mereka tidak dapat pasangkan perisai pada seluruh badan pesawat kerana ini menjadikan pesawat terlalu berat.

Oleh itu, mereka ingin tahu bahagian manakah yang perlu diperkukuhkan supaya pesawat dan anggota pesawat mempunyai peluang terbesar untuk pulang dengan selamat ke pangkalan udara.

Pada pandangan pertama, kebanyakan kita akan fikir bahawa perisai harus dipasang di bahagian yang penuh dengan titik merah itu, kerana jelasnya itulah bahagian yang sering ditembak.

Tetapi, seorang ahli statistik yang bernama Abraham Wald mengingatkan pimpinan tentera bahawa gambar rajah itu hanya mewakili pesawat-pesawat yang berjaya pulang, maksudnya pesawat-pesawat tersebut masih dapat terus terbang sampai ke pangkalan dengan selamat walaupun ia ditembak pada bahagian yang ditunjukkan oleh titik merah. Yang tidak diwakili ialah pesawat-pesawat yang gagal dalam pertempurannya dengan musuh.

Secara logik, kemungkinan besar pesawat yang gagal pulang telah ditembak pada tempat yang tidak mempunyai titik merah – iaitu, kokpit dan enjin pesawat. Oleh itu, bahagian yang paling elok untuk dipasangkan perisai sebenarnya adalah bahagian yang tidak ditanda oleh titik merah.

Kisah seperti ini biasanya akan menimbulkan perasaan rendah diri dalam diri kita, kerana kita memikirkan bahawa perkara yang logik ini kita harus bayangkan tanpa diberitahu. Sebenarnya, kita boleh mengambil sikap yang lebih positif: hakikatnya, semua manusia memang ada titik buta dalam pemikiran kita, yang disebabkan oleh berat sebelah atau bias.

Bukankah ia sesuatu yang baik kalau titik buta ditunjukkan kepada kita supaya kita menyedari tentangnya kelak? Ini serupa dengan memandu kereta, di mana telah menjadi adat kebiasaan kita untuk melihat cermin sisi dulu sebelum menukar lorong, untuk mengelak kemalangan berlaku kerana ketidakprihatin kita terhadap titik buta.

Adat kebiasaan serupa ini yang perlu kita memupuk untuk membimbing pemikiran kita, terutamanya apabila ia membabitkan politik negara dan demokrasi.

* * *

Istilah asimetri atau ketidakseimbangan (asymmetry) merujuk kepada keadaan di mana ada dua sisi sesuatu perkara itu tidak setara sifatnya, misalnya struktur muka kita, atau dinamik kuasa dalam sesuatu perhubungan, atau fenomena keutamaan (contohnya sama ada yang kidal atau yang lebih condong kepada tangan kanan).

Yang dibincangkan di bawah merupakan contoh asimetri politik atau political asymmetry, iaitu keadaan di mana satu pihak lebih mudah menang dan pegang kuasa, dan keadaan ini tidak bergantung kepada keupayaan atau usaha pihak tersebut.

Yang malangnya, pihak yang lebih mudah menang biasanya ialah pihak politik yang buruk atau jahat, dan bukan pihak politik yang baik.

Ahli politik baik sekiranya melakukan kesilapan, kerap dilihat lebih teruk berbanding ahli politik jahat 

Ahli politik yang buruk kerap dilaporkan dalam akhbar kerana kesilapan atau kejahatan yang dilakukan, minggu demi minggu, sehingga kita mudah lupa kesilapan atau kejahatan yang lama, dan hanya mengingati yang terbaru.

Contohnya, terkini Khairuddin at-Takiri mengatakan bahawa dia hendak PAS berada dalam pakatan yang boleh menang majoriti dua pertiga untuk tujuan melakukan persempadanan semula. Jelasnya kerana dia hendak memperkukuhkan kuasa parti PAS dan kuasa politiknya sendiri, namun dia berpura-pura bahawa tindakan ini adalah untuk menyatukan dan memperkasakan umat Islam Melayu. Tindakan ini merupakan kesalahan etika yang dia isytiharkan terang-terangan tanpa sebarang perasaan malu. Sememang seorang watak ahli politik yang jahat.

Tetapi, adakah orang masih ingat tindakannya tahun lalu, di mana dia melawat Turki semasa PKP, dan enggan masuk kuarantin selepas dia pulang, malah langsung tiada perasaan kesal apabila dikecam oleh rakyat Malaysia? Tambahannya, adakah orang ramai ingat perbuatan lain yang dia lakukan antara peristiwa itu sampai ke hari ini?

Kita gunakan contoh ahli politik yang lain: Annuar Musa. Apakah perkara bebal yang dia buat hari ini? Minggu lalu? Bulan lalu? Dia seperti terlalu kerap membuat atau berkata sesuatu yang menimbulkan kemarahan orang ramai.

Sebaliknya, saya hanya perlu mengujarkan dua perkataan sahaja, iaitu “kasut hitam”, dan terus semua orang akan ingat siapa yang saya maksudkan. Kenapa?

Ahli politik baik yang berkhidmat dalam kerajaan adalah mereka yang cuba sedaya upaya untuk membantu rakyat secara ikhlas. Mungkin ada yang kurang pengalaman, tidak hairan jika mereka membuat kesilapan (malah, ahli politik yang sangat berpengalaman juga akan melakukan kesilapan). Tetapi kebanyakan masa, mereka hanya melakukan kerja pentadbiran sahaja yang bersifat hakiki. Jika mereka jalankan dengan elok, usaha mereka tidak akan diberi perhatian atau dipuji oleh rakyat.

Ini sebab utama mengapa kesilapan mereka menjadi sangat ketara. Ahli politik baik tidak akan kerap melakukan kesilapan seperti ahli politik jahat, tetapi ini mengakibatkan setiap kesilapan itu ternampak sangat ketara, dan setiap kesilapan akan lama diperingati.

Cadangan “kasut hitam” bukan sesuatu ide yang terlalu teruk, kerana memang ada ibu bapa yang setuju dengan cadangan mantan Menteri Pendidikan dan ingin beliau melaksanakannya. Dan ia juga bukanlah kesilapan Dr Maszlee Malik daripada segi komunikasi, kerana pada hari itu beliau sebenarnya membentangkan 4 cadangan polisi yang lain dalam sesi Bicara Minda yang sama.

Malangnya, pihak akhbar yang menumpukan isu “kasut hitam” dengan menjadikannya tajuk utama, dan kurang menyebut tentang 4 cadangan dasar yang lain. (Anda mungkin tidak pernah dengar tentang perkara ini.) Oleh sebab itu, orang ramai berasa ini suatu cadangan yang bodoh dan terus mengecam beliau.

Sepatutnya, isu ini agak remeh dan akan hilang daripada ingatan dalam masa yang singkat, kerana ia dasar yang agak kecil kalau dibandingkan dengan reformasi dalam sistem pendidikan yang dirancang oleh Kementerian Pendidikan. Namun sebaliknya, dari Julai 2018 sehingga Dr Maszlee letak jawatan, media sosial dan akhbar terus mengecam beliau tentang isu “kasut hitam” dan gunakan peristiwa itu sebagai bukti bahawa beliau seorang yang lemah dan tidak berkemampuan untuk menguruskan kementerian.

Lihat atau tidak, sebab Dr Maszlee dikecam dengan begitu teruk adalah kerana beliau sebenarnya tidak membuat banyak kesilapan atau skandal semasa bertugas sebagai Menteri Pendidikan, tiada isu lain yang orang awam boleh mengadu pasalnya, dan oleh itu setiap kesilapannya dinampakkan lebih besar dan diungkit untuk lebih lama?

Bandingkan Dr Maszlee dengan menteri yang memang betul-betul tidak guna seperti Annuar Musa. Atau menteri besar yang betul-betul buruk seperti Sanusi Md Nor dari Kedah. Ataupun dengan pengganti Dr Maszlee untuk jawatan Menteri Pendidikan itu. (Cuba sebut nama orangnya tanpa menggunakan Google.)

Perangai yang mengarut, angkuh, dan serba tidak cekap yang ditampilkan ahli-ahli politik Perikatan Nasional ini tenggelam dalam laut kebodohan PN yang semakin meluas, di mana semua ahli politik PN seperti sedang bersaing sesama sendiri untuk menunjukkan kebodohan mereka dan menimbulkan kemarahan rakyat.

Boleh dikatakan kebanyakan perkara jahat dan bodoh yang dilakukan oleh ahli politik PN sejak Mac 2020 ini lebih membawa mudarat kepada bangsa dan negara berbanding dengan kekeliruan yang disebabkan oleh cadangan dasar kasut hitam.

Namun, hakikatnya ialah bila sebut sahaja “kasut hitam”, Dr Maszlee akan terbayang dalam fikiran anda. Tetapi bila anda tengok wajah Annuar Musa, fikiran anda tidak berarah kepada satu label atau peristiwa yang sinonim dengannya. Kerana sudah terlalu banyak.

Dan kerana sebab ini, rakyat mudah melupakan kemarahan mereka terhadap Annuar Musa, atau Khairuddin at-Takiri, atau Sanusi Md Nor.

* * *

Ini hanya satu contoh bagaimana asimetri mengaburkan reaksi kita terhadap berita politik. Dalam bahagian seterusnya kita akan lihat empat contoh asimetri yang lain.

 

* Ini merupakan bahagian pertama daripada siri artikel Asimetri Politik: Kenapa Ahli Politik yang Elok kurang Kelebihannya berbanding Ahli Politik Buruk

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

LANGGANI BULETIN KAMI

IKUTI KAMI

Berita Terkini

Melaka elections – a repetition of the Sabah 2020 elections?

The Melaka State Assembly was dissolved on October 4th,...

Bring Back The “Human” In All Of Us

WE live life doing repetitive tasks, habitual actions and...

Suatu erti merdeka

“Merdeka! Merdeka! Merdeka!” Menyahut seruan merdeka kali ini terasa amat...

Pakatan Harapan Harus Mulakan Rundingan Kerusi Untuk PRU15

Beberapa bulan sebelum PRU14, keempat-empat parti dalam gabungan Pakatan...

berita berkaitanuntuk anda
di bawah